Panggung bunuh industri filem kita: Syed Aiman

Lebih 30 tayangan filem Janna Endoro ditarik dan perlu bersaing 12 filem luar

1:18 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pelakon yang kini bergelar produser, Syed Aiman mengakui kecewa apabila pihak pempamer telah menarik balik lebih 30 tayangan filem Melayu pertama terbitannya, Janna Endoro di panggung hanya disebabkan ia gagal membuat kutipan memberangsangkan dalam tempoh tiga hari tayangan.

Dakwa Syed Aiman kepada Scoop, tindakan yang dilakukan pihak pempamer itu menyebabkan ada dalam kalangan penonton yang menyoal mengapa tayangan Janna Endoro sudah tiada di beberapa panggung.

Syed Aiman (dua, kanan) bersama barisan pelakon filem Janna Endoro yang mula ditayangkan di pawagam Februari lalu. – Gambar Instagram Syed Aiman, 6 Mac, 2024

“Mereka bertanya kerana mahu menonton Janna Endoro. Tapi, bila pergi ke panggung, mereka terkejut, tayangan sudah tiada.

“Entahlah saya pun tidak tahu nak cakap apa lagi. Nak kata kita tidak buat pemasaran unuk filem ini, tidak juga. Semua kita dah buat termasuk menggunakan khidmat pempengaruh, cuma tidak masuk televisyen sebab kekangan bajet,” katanya.

Kata Syed Aiman atau nama sebenarnya Syed Kamaruzaman Syed Mahmud, sewaktu Janna Endoro mula ditayangkan di panggung pada 22 Februari lalu, pihaknya mendapat 50 tayangan melalui Skim Wajib Tayangan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

“Tapi, pada 28 Februari lalu, pihak pempamer telah menarik lebih 30 tayangan atas alasan filem ini gagal mendapat pulangan sedangkan kalau ikut Skim Wajib Tayangan, pihak mereka haruslah menayangkan filem ini sekurang-kurangnya 14 hari.

“Jadi sekarang ini, daripada 50 tayangan tinggal 18 tayangan sahaja untuk Janna Endoro bertahan di panggung sedangkan pemasaran untuk filem ini sedang rancak dilakukan,” dakwanya.

Jelas Syed Aiman, dia telah menghubungi pihak Finas untuk memaklumkan tentang situasi dan nasib Janna Endoro dan mereka mengatakan akan cuba berbincang dengan pihak pempamer, namun tiada jaminan 30 lebih tayangan itu akan dikembalikan.

“Sebetulnya, saya pilih tarikh 22 Februari itu selepas berbincang dengan pihak Finas dan saya diberitahu tiada apa-apa filem yang masuk di panggung ketika itu.

“Tapi, bila Janna Endoro mula ditayangkan pada tarikh tersebut, tiba-tiba ada 12 filem lain dari pelbagai negara yang masuk dan ditayangkan di panggung.

“Saya sendiri tertanya-tanya kenapa boleh jadi begitu? Tapi, bagi saya itu adalah antara sebab mengapa Janna Endoro gagal meraih kutipan. Persaingan terlalu sengit,” dakwanya.

Tambah Syed Aiman, daripada apa yang dimaklumkan pihak Finas, mereka tidak mempunyai kuasa untuk menghalang kemasukan filem-filem luar ini ke panggung.

“Syarikat pengedar yang membawa masuk filem luar ini tidak perlu melalui Skim Wajib Tayang seperti filem tempatan. Mereka akan berhubung terus dengan pihak pempamer.

“Oleh kerana tayangan Janna Endoro hanya setakat 50 panggung, macam mana kita nak lawan filem-filem luar yang masuk ini dan pihak pempamer juga tidak memberi ruang untuk kita bernafas selama dua minggu?

“Adakalanya sesebuah filem itu, sambutannya dan penerimanya agak lambat dalam kalangan penonton dan hanya pada minggu kedua, baru mereka nak menonton filem.

“Sudahlah kita buat filem ini bertahun dan memakan masa dengan kos produksi yang dikeluarkan pula bukan sedikit.  Bila ditayangkan pula, filem kita kena bersaing dengan filem-filem luar dan bila tak dapat pulangan baik, tayangan filem ditarik,” katanya.

Katanya, jika keadaan seperti itu berterusan, tidak mustahil ia menyebabkan produser filem tempatan akan patah semangat serta serik untuk menghasilkan filem lagi di masa akan datang terutama untuk orang baharu sepertinya.

“Kalau panggung tidak mahu membantu, siapa lagi? Kalau produser kena ikut tiga hari syarat tayangan kena dapat pulangan yang baik, matilah. Jadi, panggung secara tidak langsung telah membunuh industri filem kita dan bagi saya jahat sungguhlah cara mereka itu,” dakwanya.

Janna Endoro yang merupakan filem pertama terbitan di bawah syarikat produksi, Double Channel Sdn. Bhd. menerima Dana Kandungan Digital (DKD) sebanyak RM500,000 daripada Finas.
 
Filem itu dijayakan barisan pelakon seperti Trisha Ooi, Pekin Ibrahim, Josiah Hogan, Wan Hanafi Su dan Danny X-Factor. – 6 Mac, 2024

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Hartalega Holdings falls prey to ransomware attack, internal systems down

According to an urgent notice sent out by its IT team to personnel in the Bursa-listed firm’s wholly-owned subsidiaries Hartalega NGC Sdn Bhd and Hartalega Sdn Bhd, a number of applications and softwares are currently inaccessible due to the attack.  

Aaron, Wooi Yik mean business: extra night training ahead of Paris Olympics

Women’s doubles pair Pearly Tan and M. Thinaah, mixed doubles duo Chen Tang Jie and Toh Ee Wei, will also participate

Related