KUALA LUMPUR – Tidak seperti usahawan produk lain yang berusaha gigih menghasilkan single tetapi suara dan vokal sebetulnya ‘hancur ke laut’, pujian nampaknya lebih banyak diterima Datuk Seri Alha Alfa dalam single pertamanya, Cinta Agung yang dinyanyikan beliau bersama sahabatnya, aktres Zara Zya.
Bahkan, muzik video lagu ciptaan Yuka Kharisma, Senna dan Daniesh Sufian yang mula dilancarkan di platform YouTube Alha Alfa pada 28 Disember 2023 itu, sudah pun meraih lebih 110,000 tontonan.

“Syukur di atas sambutan amat baik oleh pendengar, rata-rata memberikan komen positif kerana mereka sukakan karya daripada kami berdua yang bukannya dalam kalangan penyanyi profesional, tetapi saya yakin lagu ini mampu memberi ketenangan dan semangat buat halwa telinga orang yang mendengarnya.
“Di antara komen yang saya terima adalah lagu ini memberi pengajaran serta semangat, terutama buat mereka yang berada dalam perhubungan untuk menyayangi serta mencintai seseorang bahawa tiada kesempurnaan dalam percintaan,” katanya yang baru sahaja menaja penganjuran Anugerah Juara Lagu 38, malam Ahad lalu.
Sekadar menghasilkan single Cinta Agung ini secara suka-suka, Alha Alfa turut menjawab komen mengenai harapan peminat yang mendoakan agar dia dan Zara Zya berjodohan.
“Dalam hidup pasti akan ada orang lain yang menyayangi kita dalam diam dan tiada cinta yang sempurna melainkan cinta yang Maha Agung.
“Cinta saya kepada Zara Zya hanyalah sebagai sahabat baik kerana kami sudah lama mengenali hati budi masing-masing.
“Selain menghargai bakat dikurniakan Tuhan, lagu ini akan kami simpan sebagai kenangan untuk masa depan kami berdua dan mungkin dengan cara ini, kami lebih menghargai hubungan persaudaraan ini.
“Saya berharap agar lebih ramai mendengar dan menyokong lagu ini, semoga ia memberi impak baik pada diri dan sentiasalah bersemangat untuk meneruskan kehidupan cinta kita semua,” katanya. – 5 Mac, 2023