Filem berbayar mereka puji walau teruk, tidak berbayar dikritik, Ahmad Idham selar sikap pempengaruh filem tak bertamadun

Ahmad Idham menyatakan dia tidak akan berdiam diri daripada menyuarakan isu ini kerana baginya, ia virus dan jika tidak dibendung akan merosakkan industri

5:25 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Produser, pengarah dan pelakon, Ahmad Idham Ahmad Nadzri secara lantang menyelar sikap segelintir pempengaruh filem yang tidak jujur, tidak bertamadun serta menipu pengikut di media sosial mereka, apabila memberikan ulasan tidak adil dan berat sebelah terhadap sesebuah filem tempatan ditonton.

Bercakap kepada Scoop, golongan pempengaruh filem ini rupa-rupanya menerima kadar bayaran tertentu (rate card) untuk mengulas sesebuah filem, justeru mereka hanya akan memberikan ulasan baik serta berbentuk pujian melangit jika dibayar pihak penerbit.

“Tetapi, bagi filem yang tidak berbayar, mereka akan kritik sesuka hati dan menghentam mengikut cita rasa mereka.

“Masalahnya, filem berbayar yang mereka puji bagai nak rak itu kualiti pembikinan dan produksinya teruk berbanding filem mereka kritik. Bila pengikut mereka tengok filem itu, mereka akan rasa tertipu dengan ulasan pempengaruh tersebut. Adakah ini sesuatu yang wajar?

“Sebagai pemain yang serius di dalam industri kreatif perfileman ini, saya rasa kena ada seseorang ketengahkan isu ini dan ini yang sedang saya lakukan,” katanya.

Jelas Idham, dia tidak kisah jika pempengaruh filem ini mahu bertapak di dalam industri perfileman secara jujur.

“Tapi, kalau mereka meletakkan kadar bayaran (rate card), itu bermakna mereka sudah mengamalkan sistem berniaga.

“Bila dibayar baru mereka nak puji, bila tak dibayar mereka nak hentam, nak kritik. Di mana kejujuran mereka sebagai pengulas filem (kononnya)?

“Bagi saya ini adalah suatu virus dan jika tidak dibendung, ia akan merosakkan industri. Mereka juga tidak sedar mereka sebenarnya buat duit dengan industri ini.

“Kalau suatu hari nanti industri ini tutup atau mati disebabkan ulasan mereka yang melampau, tidak adil dan berat sebelah, mereka nak ulas filem apa selepas ini?” katanya.

Menyifatkan tindakan pempengaruh filem sedemikian sebagai tidak bertamadun, Idham turut menyarankan agar mereka hanya mengulas filem berbayar sahaja.

“Kalau yang tidak berbayar, kenapa mereka nak kritik pula? Kalau mengikut pada profesionalisme, mereka tidak boleh ‘jentiklah’ filem lain yang tak berbayar. Mereka tidak layak nak kritik filem orang lain, baru adil.

“Itu saya punya pendirian terhadap isu ini. Apa yang saya lakukan ini bukan untuk diri saya semata-mata, tetapi juga demi rakan lain yang berjuang dengan begitu susah payah untuk bikin filem serta kepentingan industri itu sendiri,” jelasnya.

Tambah Idham, dia tidak kisah jika apa disuarakannya itu akan menyebabkan golonga pempengaruh filem ini berasa tidak puas hati.

“Saya sedia berdepan dengan mereka dan mari kita berdebat mengenai isu ini. Kalau mereka sanggup dan berani, kita boleh lakukan.

“Saya juga tidak akan berdiam diri jika mereka cuba untuk mempertahankan apa mereka lakukan ini.

“Saya akan berjuang demi industri walaupun secara sendirian kerana saya sudah biasa melakukannya sejak dari dulu lagi,” katanya. – 3 Mac, 2024

Topics

Popular

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Related