KUALA LUMPUR – Debaran final Anugerah Juara Lagu 38 (AJL38) kian terasa dan sebanyak 12 lagu akan dipertandingkan di pentas akhir pada 3 Mac ini, yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Persoalannya, daripada 12 lagu ciptaan komposer dan penulis lirik tanah air, siapa yang akan diangkat dan menepati ciri-ciri untuk diangkat sebagai juara.
Setakat ini, ramai yang meramalkan lagu Jangan Mati Rasa Itu, ciptaan dan nyanyian Aina Abdul bakal bergelar juara.
Ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana lagu ini adalah lagu paling lama bertahan di dalam program muzik-muzik sebelum ia layak mara ke pentas akhir AJL38.
Bahkan, ia merupakan sebuah lagu pop balada yang cukup baik malah dari segi melodi, lirik, susunan muzik, dinamik lagu, persembahan vokal, emosi serta penghayatan yang dizahirkan Aina serta kualiti produksi, menjadikannya sebagai cukup luar biasa.
Aina juga membuat pilihan yang tepat memilih Mac Chew sebagai produser muzik untuk lagu ini kerana sentuhan beliau membuat lagu ini dihasilkan dengan penuh kualiti dan berada di tahap yang berbeza sekali.
Bagaimanapun pada masa sama, lagu Sutera ciptaan dan nyanyian Aisha Retno juga tidak boleh diketepikan kerana ia menawarkan kelainan yang cukup segar dan berbeza berbanding apa yang sering kita dengar di dalam pasaran muzik semasa kita.
Sutera boleh disifatkan sebagai karya lagu yang hebat dan ‘brilliant’ serta di luar kotak daripada Aisha kerana ia berjaya menyatukan genre pop, etnik dan edm dengan begitu seimbang dengan menggabungkan tiga elemen utama iaitu kekuatan muzik, vokal dan tarian.
Eleman ini dapat dilakukan Aisha dengan begitu cemerlang sekali.
Dinamik lagu ini sungguh mencabar dengan lapisan nuansa muzik yang padat serta hook lagu yang catchy sehingga membuatkan kita terpaku mendengarnya dari awal hingga akhir tanpa kita sedari.
Lagu Hasrat nyanyian dan ciptaan Amir Jahari juga sebuah karya lagu yang tidak kurang hebatnya.
Walaupun ia sebuah lagu pop balada yang moderate dan agak minimal, namun melodi, lirik, susunan muziknya dan persembahan vokal Amir mempunyai magis dan kekuatan tersendiri.
Ia umpama mendengar terapi di mana pendengar akan berasa tenang serta tenteram.
Dari sudut persembahan vokal penyanyi terbaik, persembahan yang sengit mungkin akan dapat disaksikan di antara Aina Abdul, Aisha Retno, Ernie Zakri dan Marsha Milan. Namun, Aina dan Aisha dijangkakan bersaing lebih sengit lagi di pentas AJL38 ini.
Apapun segalanya akan terjawab pada malam kemuncak final AJL38 yang bertemakan Muzikaverse.
Lagu-lagu yang bakal bertanding adalah Jangan Mati Rasa Itu ciptaan dan nyanyian Aina Abdul, Astana (Ernie Zakri/ Omar K/ Syamel/ Syazriq Azeman), Sutera (Aisha Retno/Aisha Retno dan MFMF/Aisha Retno), Santai (Naqiu/Faizal Tahir), Inilah Jalannya (Masdo/ Noh Salleh), Darah (Marsha Milan/ Naim Daniel dan Firdaus Rahmat) dan Kalam (Shiha Zikir/ Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat/ Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat).
Tidak ketinggalan, Hasrat (Amir Jahari/ Amir Jahari), Kucuma (Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah/A Ramlee dan Ezra Kong/ A Ramlee dan Ezra Kong), Waktu (Hasif Upin dan Ziana Zain/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat/ Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat) dan Selagi Ku Ada (Khai Bahar & Nabila Razali/ Amylea). – 1 Mac, 2024