Masih ramai tak faham cara Skim Wajib Tayang berfungsi, CEO Finas tegaskan 3 hari pertama tayangan sangat penting

Fungsi utama Skim Wajib Tayang adalah melindungi filem-filem tempatan di pawagam daripada dimonopoli filem antarabangsa terutama dari segi tarikh dan bilangan lokasi

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sejak kebelakangan ini, terdapat segelintir pemain kreatif industri hiburan mempertikaikan fungsi Skim Wajib Tayang sehingga ada yang menyifatkan ia sudah tidak lagi relevan untuk dilaksanakan.

Ini kerana dakwa mereka, skim tersebut gagal melindungi dan memastikan filem keluaran tempatan atau secara usahasama mendapat jaminan tempat dan kuota tayangan selama dua minggu di pawagam.

Bercakap kepada Scoop, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, masih terdapat ramai pihak yang belum memahami cara sebenar proses Skim Wajib Tayang berfungsi.

“Sebetulnya, pengiraan tiga hari pertama itu penting untuk difahami iaitu sesebuah filem keluaran tempatan perlu memenuhi syarat mencapai bilangan penonton melebihi 15% untuk purata tiga hari pertama bagi keseluruhan bilangan pawagam (bilangan tempat duduk) untuk tayangan filem tersebut.

“Jika filem tersebut capai syarat 15% ke atas dalam tempoh tiga hari pertama, barulah pawagam akan terus menayangkan filem berkenaan untuk tempoh dua minggu. Andai kata tidak menepati sasaran ini, pawagam boleh menarik balik tayangan pada bila-bila masa. Tetapi selalunya pawagam masih bantu meneruskan tayangan pada tiga hari pertama dengan tayangan di lokasi berskala sederhana.

“Yang penting semasa tempoh dua minggu, perlunya pemantauan dari sudut lokasi dan waktu tayangan dilakukan dan pihak produser atau produksi perlu mengetahui strategi serta lokasi mana yang patut mereka utamakan untuk menarik penonton,” katanya.

Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, ramai karyawan sering tersalah anggap bahawa fungsi utama Skim Wajib Tayang adalah untuk mengawal selia pawagam serta produksi filem tempatan. – Gambar Facebook Finas, 27 Februari, 2024

Jelas Azmir, rata-rata karyawan juga sering tersalah anggap bahawa fungsi utama Skim Wajib Tayang adalah untuk mengawal selia pawagam dan produksi filem tempatan.

“Sebenarnya, fungsi utamanya adalah untuk melindungi filem-filem tempatan di pawagam daripada dimonopoli filem antarabangsa terutama dari segi tarikh dan bilangan lokasi.

“Fungsi keduanya pula adalah untuk mendapatkan tempahan tarikh yang bersesuaian untuk tayangan filem tempatan.

“Hal ini adalah untuk mengelakkan perlanggaran genre dan menyusun supaya filem-filem tempatan tidak bertindih semasa tayangan pada hari pertama,” katanya lagi.

Bagaimanapun, kata Azmir, pada masa sama pihaknya turut melakukan pemantauan untuk memastikan pihak pemamer mematuhi syarat Wajib Tayang ini.

“Finas sentiasa memantau dan juga bermesyuarat dengan pihak pawagam melalui Persatuan Pemamer Malaysia (MAFE) setiap bulan.

“Jika ada sebarang permasalahan, memang ada saluran rasmi untuk produksi filem membuat laporan dan menyerahkan laporan tersebut kepada Finas untuk diambil tindakan sewajarnya.

“Produksi perlu memberi laporan lengkap seperti lokasi, tarikh dan waktu kejadian berlaku dan jika ada kecuaian, laporkan segera kepada Finas,” katanya lagi.

Mengenai gesaan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil agar penambahbaikan Wajib Tayang dilakukan, Azmir berkata, Finas ketika ini sedang berusaha ke arah itu demi memastikan kualiti filem dapat ditingkatkan.

Finas bagaimanapun menyambut gesaan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil agar penambahbaikan Wajib Tayang dilakukan demi memastikan kualiti filem dapat ditingkatkan. – Gambar Scoop, 27 Februari, 2024

“Di antara rumusan mengenai penambahbaikan itu adalah dari sudut memberi ‘grading’ (penggredan). Tujuan utama adalah untuk menolak lambakan filem yang berada di bawah paras kualiti (QC control).

“Dalam setiap perniagaan atau jualan sememangnye ada QC control, begitu juga dengan industri kreatif hiburan, sama ada untuk tujuan siaran di TV (televisyen) dan sebagainya.

“Penambahbaikan turut mewajibkan setiap filem yang memohon Wajib Tayang, perlu menghantar filem yang siap sepenuhnya bersama bahan-bahan promosi filem,” katanya.

Tambah Azmir lagi, Finas bersama Fahmi sudah mengadakan pertemuan bersama semua pengendali pawagam utama dan pawagam persendirian pada 7 Februari lalu.

“Dalam pertemuan ini, perkongsian pihak pawagam kepada YB Fahmi, kementerian dan Finas adalah mengenai perkembangan perniagaan pawagam, isu-isu semasa serta bagaimana semua pihak dapat menbantu meningkatkan bilangan penonton di pawagam.

“Ini merupakan sebahagian inti pati perbincangan dalam sesi tersebut. Mesyuarat seumpama ini akan diadakan sebanyak tiga kali setahun untuk menbincangkan semua perkara berkaitan perniagaan dan pembangunan industri tempatan,” katanya.

Ditanya mengenai pandangannya apabila sudah ada pembikin filem mula menayangkan filem tanpa melalui Skim Wajib Tayang kerana menganggap ia sudah tidak relevan, Azmir berkata, jika mereka tidak memahami fungsi sebenarnya dan cara perniagaan pengedaran, seseorang itu akan tetap berfikiran sedemikian. – 27 Februari, 2024

Topics

Popular

Islam larang tegur raja, pemerintah tanpa adab, taat setia bukan perkara main-main: Mimbar

Taat setia kepada raja, pemerintah, pemimpin dan ketua harus ditunjukkan sebaik mungkin, malah bukan perkara main-main yang boleh dipandang sebelah mata.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Why is Hamidin being blamed for recent sports controversies?

As FAM president, OCM deputy president, among other posts, he has received outsized criticism for matters out of his jurisdiction

Related