Skim Wajib Tayang: Adilkah jika filem berkualiti seperti Rain Town, Pagari Bulan jadi mangsa kurang penonton?

Tunku Mona tidak memahami mengapa pihak pemamer tidak mematuhi peraturan Skim Wajib Tayang, manakala Raja Mukhriz mahu isu itu dibahaskan bagi memastikan ia masih relevan atau sebaliknya

4:22 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Skim Wajib Tayang yang mula diperkenalkan pada 1985 pada asalnya diwujudkan untuk melindungi dan memastikan filem keluaran tempatan atau secara usahasama mendapat jaminan tempat tayangan di pawagam yang dilesenkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Bukan sahaja jaminan tempat, bahkan mengikut peruntukan peraturan Skim Wajib Tayang, pihak pemamer hendaklah menayangkan filem keluaran tempatan atau usahasama yang diluluskan selama 14 hari berturut-turut.

Namun, sejauh mana keberkesanan Skim Wajib Tayang dalam melindungi filem tempatan dan membantu hak serta kepentingan karyawan atau pembikin filem tempatan, terutama melibatkan penghasilan filem berkualiti seperti Rain Town arahan Tunku Mona Riza atau Pagari Bulan (Raja Mukhriz).

Kedua-dua filem berlainan genre, jalan cerita, garapan, kerja kamera, bahasa visual dan nilai produksi ini mempunyai kekuatan pada premis dan subjek cerita serta penyampaian masing-masing tetapi kurang mendapat sambutan sejak minggu pertama ia ditayangkan di pawagam.

Hal itu menyebabkan, pihak pemamer hampir menarik keluar tayangan kedua-dua filem berkenaan di pawagam atau mengehadkan jumlah tayangan di pawagam tertentu yang lebih kecil kapasitinya.

Tunku Mona Riza sewaktu dihubungi Scoop memberitahu, dia mengetahui fungsi Skim Wajib Tayang tetapi pada masa sama tidak memahami mengapa ada pihak pemamer yang tidak mematuhi peraturan tersebut.

Tunku Mona Riza melihat sendiri CEO Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib menghubungi pihak pemamer meminta mereka untuk tidak menarik keluar filem arahannya, Rain Town dari tayangan di pawagam sedangkan peraturan Skim Wajib Tayang sepatutnya dipatuhi secara automatik. – Gambar Scoop, 26 Februari, 2024

“Saya tidak tahu apa yang terjadi pada Skim Wajib Tayang selepas bertahun-tahun dan sebagai pembikin filem, kita tidak berasa benar-benar dilindungi.

“Mungkin sebab pihak pemamer menjalankan bisnes. Tapi jika mereka sudah tertakluk dengan Skim Wajib Tayang, mereka harus juga patuhi peraturan yang ada. Finas harus jadi lebih agresif lagi,” katanya.

Menurut Tunku Mona lagi, sewaktu Rain Town hampir ditarik keluar tayangannya daripada pawagam, dia meluahkan perasaan mengenai perkara itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

“Saya cuba melakukan bahagian saya untuk selamatkan filem saya daripada ditarik keluar dengan berbincang bersama pihak pengedar dan Datuk Azmir juga melakukan bahagiannya, tetapi saya nampak sendiri beliau menghubungi pihak pemamer dan meminta mereka untuk tidak menarik keluar.

“Saya tertanya mengapa Datuk Azmir sendiri perlu bertindak begitu sedangkan sudah ada Skim Wajib Tayang yang perlu dipatuhi? Inilah saya rasa antara beberapa perkara yang perlu diperhatikan terhadap Skim Wajib Tayang serta keseluruhan prosesnya,” katanya.

Menurut Raja Mukhriz, isu Skim Wajib Tayang memang perlu dibahaskan untuk memastikan ia masih kekal relevan atau sebaliknya. – Gambar Scoop, 26 Februari, 2024

Sementara itu, Raja Mukhriz pula berkata, isu Skim Wajib Tayang memang perlu dibahaskan untuk memastikan ia masih kekal relevan atau sebaliknya.

“Apa yang menentukan kejayaan sesebuah filem di panggung selain daripada kehebatan filem itu sendiri dari sudut pembikinan, jalan cerita, garapan, pemasaran dan sebagainya?

“Sudah tentu, tarikh dan waktu yang sesuai untuk ia ditayangkan serta termasuk hal-hal lain berkaitan dengan pengedaran.

“Tetapi, siapa yang harus menentukan perkara ini? Siapa yang harus menasihati produser atau pembikin filem supaya tidak melakukan kesilapan dalam hal berkaitan pemasaran dan pengedaran tayangan filem di panggung.

“Adakah pihak pengedar dilantik Finas ini juga adalah individu yang tepat atau mahir dalam melaksanakan tugas mereka untuk membantu kerja-kerja pemasaran dan pengedaran dengan betul agar mampu meraih kutipan yang baik di pawagam?,” soalnya.

Kelemahan dalam Skim Wajib Tayang dikhuatiri gagal melindungi filem tempatan, sekali gus merugikan karya berkualiti. – Gambar Scoop, 26 Februari, 2024

Isu Skim Wajib Tayang yang sering dipertikaikan pihak pemain kreatif industri menyebabkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menggesa agar Finas melihat dan memperhalusi semua skim berkenaan untuk diberi penambahbaikan.

Persoalannya, apakah penambahbaikkan yang akan dilakukan itu? – 26 Februari, 2024

Topics

Popular

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Related