KUALA LUMPUR – Penganjuran Anugerah Akademi Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (KLIFAA 2024) terus meraih perhatian daripada pembikin filem dari seluruh dunia, apabila berjaya meraih 3,135 penyertaan dari 98 negara.
Antara penyertaan negara luar yang diterima adalah dari Indonesia, Thailand, Jepun, Korea Selatan, India, Bangladesh, Iran, Perancis, United Kingdom dan Mexico.
Pengerusi KLIFAA 2024, Tengku Azlan Sultan Abu Bakar berkata, sambutan menggalakkan itu, memberi impak positif pada penganjuran acara julung kali ini.
“Saya sebagai pengerusi bersama-sama ahli jawatankuasa terdiri daripada mereka yang mahir dalam bidang ini, amat berbangga dengan sambutan diberikan (penggiat) perfileman dunia bukan saja dari negara kita ini bahkan dari seluruh dunia.
“Daripada 3,135 penyertaan yang diterima dari 98 negara, ia memberikan semangat yang baik kepada kita untuk meneruskan usaha ini, selain memberi ruang kepada artis yang sudah ada nama atau belum cukup dikenali untuk masa depan mereka berkecimpung dalam industri perfileman,” katanya pada Majlis Perasmian KLIFAA 2024 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, penganjuran acara itu juga adalah satu daripada usaha untuk memberi pendedahan dan mendidik generasi muda yang berminat terhadap bidang seni bagi menceburkan diri, sehingga menjadi bakat terbaik dan popular pada masa hadapan.
“Saya rasa ini adalah batu loncatan dan kita pernah mendengar nama arwah Tan Sri P Ramlee yang amat masyhur yang pernah menjadi aktor, pengarah dan penyanyi di mana hari ini, kurang ada anak seni berbakat yang benar-benar menonjol sama ada di peringkat negara atau antarabangsa.
“Penganjuran KLIFAA 2024 juga satu cara meningkatkan lagi taraf industri perfileman dunia dan insya-Allah jika berlaku apa yang kita usahakan ini, ia akan membuka mata dunia bahawa Malaysia adalah hab dunia filem,” katanya.

Pertama kali dianjurkan di Malaysia, KLIFAA 2024 dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 7 hingga 11 Ogos depan.
KLIFAA 2024 pada kali ini yang membawa tema ‘Inspiring Brilliance, Igniting Passion’, memaparkan semangat festival, bertujuan menyatukan budaya, mencetuskan pemikiran dan menginspirasikan kreativiti pada skala global.
Penyertaan acara itu terbuka pada semua penggiat seni dari seluruh dunia sama ada dalam bidang filem cereka, drama televisyen, dokumentari, filem pendek dan animasi.
Tempoh bagi kategori pertandingan dan bukan pertandingan bermula dari 1 Mac hingga 31 Mei 2024.
Maklumat lanjut berhubung penyertaan dan kemas kini KLIFAA 2024 boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang, www.klifaa.com. – 25 Februari, 2023