KUALA LUMPUR – Peminat ahli kumpulan K-pop terkenal, Super Junior, Kyuhyun, boleh mula mendapatkan tiket Konsert Jelajah Asia ‘Restart’ penyanyi itu di Malaysia 1 Mac ini bermula jam 11 pagi.
Menerusi maklumat dipaparkan di laman sesawang rasmi penjualan tiket, my.bookmyshow.com, ia dijual pada harga RM268, RM368, RM588 dan RM698 (VIP) satu.
“Setiap transaksi (pembelian tiket) adalah terhad kepada empat tiket sahaja.
“Semua tempat duduk adalah bernombor,” menurut laman sesawang itu.
Terdahulu, Kyuhyun yang juga seorang penyanyi berbakat dalam balada sentimental dilaporkan kembali ke Malaysia untuk menjayakan persembahan solonya pada 13 April ini.
Berita itu menjadi khabar gembira kepada peminatnya yang tidak sabar ke persembahan berkenaan.
Walaupun dia dilaporkan pernah merakamkan video muzik bersama kumpulan Super Junior sebelum ini, Kyuhyun akan kembali ke Kuala Lumpur sebagai penyanyi solo pada kali ini.
Konsert bakal diadakan di Mega Star Arena di sini, pada jam 8 malam itu, adalah sebahagian daripada Konsert Jelajah Asia ‘Restart’ sempena pelancaran mini album (EP) dengan judul sama.
EP ‘Restart’ dilancarkan Januari lalu yang mengejutkan peminatnya kerana kebanyakan lagu memuatkan unsur utama genre pop rock.
Sejak penampilan sulung pada 2006, Kyuhyun menunjukkan bakat terpendam dengan pelancaran album ini.
Pada hari pertama pelancaran, Restart membuat kejutan apabila mengungguli carta album teratas iTunes di 14 negara di seluruh dunia, menjadikan ia sebagai rekod peribadi terbaik.
Dalam pada itu, Kyuhyun bakal mempamerkan gaya muzik segar dan berbeza berbanding sebelumnya dalam Konsert Jelajah Asia ‘Restart’ ini.
Mengumumkan Malaysia sebagai satu daripada lokasi jelajah itu, Kyuhyun berkata, dia mempunyai ‘hubungan mendalam’ dengan negara ini kerana salah satu muzik video debut awal Super Junior, Dancing Out dirakamkan di sini.
Bagaimanapun ini adalah kali pertama penyanyi itu akan membuat persembahan solo. – 24 Februari, 2024