Trisha Ooi puas bawa babak aksi lasak dalam filem Janna Endoro

Trisha turut menunjukkan kebolehannya menaiki motosikal scrambler, Endoro

7:55 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Puas. Itulah kata-kata diluahkan pelakon muda, Trisha Ooi, 23, apabila berpeluang berlakon dan menjayakan babak aksi lasak dalam filem Janna Endoro arahan Sham JR.

Dalam filem yang banyak mengetengahkan barisan pelakon, budaya dan dialek Kelantan itu, Trisha yang memegang teraju utama sebagai Janna berpeluang menunjukkan kebolehannya menaiki motosikal scrambler Endoro.


Pada masa yang sama menonjolkan kemahiran silat dan muay Thai ketika berlawan dengan sekumpulan watak antogonis demi menyelamatkan anaknya, Dhia yang telah diculik akibat perbuatan suaminya, Mat Dat yang gemar berjudi.

“Ini adalah filem ketiga saya selepas Wira (2019) dan Pagari Bulan (2023). Tetapi, filem pertama saya sebagai teraju utama. Banyak cabaran yang saya perlu tangani untuk menjayakan watak Janna ini terutama dari sudut babak aksi.

“Walaupun ramai tahu saya memulakan kerjaya seni sebagai pelakon lagak ngeri dan artis seni mempertahankan diri, namun membawakan watak ini bukanlah sesuatu yang mudah.

“Tapi pada waktu yang sama, kemahiran seni mempertahankan diri yang saya belajar sebelum ini banyak membantu saya untuk menjayakan watak Janna di dalam filem ini dan alhamdulillah, tiada berlakunya sebarang kecederaan,” katanya kepada Scoop.

Menurut Trisha, dalam filem ini dia telah membawakan silat tari campuran muay Thai dan buah silat yang dikoreografikan pelakon dan pesilat Z Zamry.

“Saya memang ada belajar silat iaitu seni silat cindai. Saya gunakan asas seni silat dan Papa Zamri hanya ‘touch up’ apa yang perlu untuk mencantikkan lagi babak lawan yang saya lakukan.

“Saya belajar silat sejak usia 17 tahun, tapi saya belajar tae kwan do sejak di usia kecil lagi,” katanya.

Katanya, cabaran kedua yang dihadapinya adalah berdialek dalam loghat Kelantan kerana dia bukan asal dari negeri itu.

“Saya ada ramai kawan-kawan Kelantan banyak membantu dan saya sendiri ada pergi kelas selama tiga minggu dengan mereka untuk fasihkan loghat Kelantan,” katanya.

Mengakui puas apabila impiannya untuk membawakan teraju utama dalam sebuah filem aksi tercapai, Trisha menganggap tawaran membintangi Janna Endoro adalah satu penghargaan buat dirinya.

“Terus terang, watak Janna ini sebenarnya sangat berat kerana saya perlu bermain dengan emosi dan pada waktu yang sama perlu berlawan.

“Pekin Ibrahim banyak membantu untuk pupuk rasa dalam lakonan saya. Begitu juga dengan Wan Hanafi Su. Mereka adalah pelakon-pelakon yang sangat saya hormati dan sentiasa bagi tunjuk ajar dan sokongan dari awal sehingga akhir penggambaran.

“Saya juga bersyukur kerana penggambaran Janna Endoro dilakukan mengikut blok. Jadi di awal penggambaran, di dalam blok pertama, saya perlu banyak bermain dengan emosi dalam lakonan manakala dalam blok kedua pula, ia lebih banyak melibatkan babak lawan. Kalau pihak produksi tidak memecahkan kedua-dua transisi ini mengikut blok, saya tak tahu nak cakap apa.

“Kalau sekejap babak emosi, sekejap babak lawan dan kemudian babak emosi dan kemudian babak lawan lagi, saya tidak boleh bawa watak Janna,” katanya.

Trisha memberitahu, dia turut melakukan persiapan yang lebih awal untuk mencari Janna dan memasukkan roh Janna dalam dirinya.

“Waktu saya dapat skrip ini lima bulan lebih awal daripada tarikh penggambaran, saya sudah mula persediaan dengan membaca, memahami skrip serta menyelami watak Janna. Seorang guru saya yang juga pelakon memberitahu, kalau mahu dapatkan watak cuba keluar dengan lihat perilaku manusia. Itu yang saya lakukan.

“Kemudian, dalam tempoh tiga minggu penggambaran di Kelantan, saya hanya rehatkan diri dan duduk di Kota Bharu. Pihak produksi beri saya tempat latihan dan perkara itu juga membantu saya ketepikan Trisha untuk hidupkan karakter Janna,” katanya. – 20 Februari, 2024

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Islam larang tegur raja, pemerintah tanpa adab, taat setia bukan perkara main-main: Mimbar

Taat setia kepada raja, pemerintah, pemimpin dan ketua harus ditunjukkan sebaik mungkin, malah bukan perkara main-main yang boleh dipandang sebelah mata.

Zii Jia management, BAM should have kept mum on image rights, says sports analyst

Mohd Sadek Mustafa says such deals the norm among athletes

Related