KUALA LUMPUR – Penghibur legenda, Datuk Jamal Abdillah menarik diri daripada pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang bakal berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Mac ini.
Beliau sepatutnya berduet bersama Wany Hasrita untuk lagu Ku Cuma.
Untuk itu penyanyi muda, Afieq Shazwan dipilih menggantikan tempat Jamal untuk membawakan lagu bergenre pop etnik ciptaan Ezra Kong itu.
Berita mengejutkan itu dimaklumkan syarikat rakaman FMC Music menerusi kenyataan yang dikongsi kepada pihak media.
Menurut Pengarah Urusan FMC Music, C.F Ho, keputusan tersebut dibuat setelah mendapat persetujuan bersama antara pihak Jamal, penerbitan dan FMC Music mewakili pencipta lagu.
“Kami tidak dapat berbuat apa-apa jika keputusan itu telah dibuat sendiri Datuk Jamal dan dipersetujui pihak penerbitan.
“Sebelum itu Datuk Jamal sendiri ada memberitahu saya untuk menarik diri, namun saya mencadangkan beliau memaklumkan sendiri kepada pihak penerbitan AJL kerana perkara ini terletak di luar bidang kuasa kami selaku syarikat yang menerbitkan lagu,” katanya.
Katanya, setelah berbincang dengan Ezra Kong elaku pencipta lagu Ku Cuma, pihaknya bersetuju menamakan Afieq Shazwan sebagai penganti Jamal untuk berduet bersama Wany Hasrita dipentas akhir AJL38 nanti.
“Keputusan pemilihan ini dibuat berdasarkan kredibiliti dan kemampuan Afieq. Kami yakin Afieq mampu memberikan persembahan dan kerjasama yang baik dengan Wany Hasrita,” jelasnya.
Sebanyak 12 lagu terbaik berjaya melalui tiga fasa saringan Semi Final Muzik-Muzik dan bakal berentap di pentas AJL38 nanti.
Lagu-lagu yang terpilih adalah Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul); Sutera (Aisha Retno); Santai (Faizal Tahir); Inilah Jalannya (Masdo); Astana (Ernie Tahir); Darah (Marsha Milan); Kalam (Shiha Zikir); Hasrat (Amir Jahari); Ku Cuma (Datuk Jamal Abdillah & Wany Hasrita); Bintang (Hael Husaini); Waktu (Ziana Zain & Hasif Upin) dan Selagi Ku Ada (Khai Bahar & Nabila Razali).
Kesemua lagu dinilai enam juri profesional terdiri daripada Datuk Mokhzani, Datuk Wah Ali, Dr Azmeer, Helen Yap, LY dan Cat Farish. – 19 Februari, 2024