Tiada lagu sesuai dengan jiwa, punca Anuar Zain 8 tahun tak keluar album studio baharu

Anuar bagaimanapun dalam perancangan untuk keluarkan single terbaharunya

10:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penghibur, Anuar Zain mengakui kegagalan mendapat lagu yang bersesuaian dengan jiwanya menyebabkan dia masih belum berpeluang menghasilkan album studio baharu.

Anuar sewaktu diwawancara Scoop memberitahu, sudah lapan tahun dia tidak menghasilkan album studio baharu dan kali terakhir dia mengeluarkan album rakaman adalah pada 2016.

“Kalau boleh, memang saya masih hasilkan album studio baharu dalam tempoh dan jangka masa selama tiga atau empat tahun. Tapi cerita dia sekarang, saya belum dapat lagi lagu yang betul-betul saya mahukan. Ia memang menyedihkan.

“Adakalanya bila kita dengar sesuatu lagu yang dinyanyikan artis baru, kita rasa alamak kalau lagu itu dapat pada kita kan best. Sebab lagu itu sesuai dengan kita. Tapi, ia jadi rezeki orang lain. Ada pula satu lagu yang diberikan seorang kawan.

“Kita belum lagi bagi jawapan untuk terima dan kita rasa kita tak sedia lagi untuk merakamkannya. Bila orang lain menyanyikan lagu itu, kita rasa menyesal pula sebab tidak menyanyikannya. Tapi, hendak buat macam mana, tidak ada jodoh dengan lagu itu,” katanya ketika ditemui selepas acara Anuar Zain Premium Showcase Exclusive Up Close & Personal, lewat petang kelmarin.

Anuar bagaimanapun tidak menafikan dia kini lebih selesa mengeluarkan single lagu berbanding album studio.

Anuar tidak menafikan dia kini lebih selesa mengeluarkan single lagu berbanding album studio – Ellyna Ali/Scoop, 19 Februari, 2024

“Kalau boleh saya memang nak buat album dan jual secara old school (fizikal). Tetapi, saya tidak pasti penerimaan orang macam mana. Album bagi saya sukar untuk dijual. Dunia sekarang pun sudah berubah. Sekarang orang banyak dengar Spotify atau platform penstriman muzik lain.

“Tapi, jika ada rezeki, Insya-Allah, saya mahu keluarkan sebuah album yang memiliki lapan lagu dan sudah tentu saya mahu buat yang lebih baik lagi daripada album terdahulu. Melodi, lirik dan mesej dalam sesebuah lagu sangat penting dan saya mahu hasilkan sesuatu yang benar-benar bagus untuk semua orang.

“Saya lebih suka fikir mengenai jangka hayat sesebuah lagu. Tak mahu buat sekadar cincai atau di angin lalu. Jika kita buat dengan penuh usaha dan orang dapat merasai usaha kita, mereka akan hargai. Saya tak mahu keluarkan lagu hanya terpaksa sebab dah lama tak keluarkan lagu,” katanya.

Jelas Anuar lagi, dia kini sedang menunggu sebuah lagu daripada komposer Indonesia yang ditemuinya beberapa bulan lalu.

“Harapnya semua okey dan saya juga terfikir untuk merakamkan semula sebuah lagu lama daripada penyanyi lelaki dari seberang juga. Saya suka lagu itu. Kita tengok macam mana nanti,” katanya.

Tambah Anuar lagi, dia bersyukur walaupun hanya memiliki lima album sepanjang kerjaya nyanyiannya, kebanyakan lagunya berjaya menjadi single.

“Alhamdulillah, sepanjang menjadi penyanyi rakaman, saya berjaya mempunyai lebih daripada 10 single yang dikenali dan digemari ramai. Ia memang menyuntik semangat untuk saya terus mengeluarkan lagu berkualiti.

“Dalam album pertama saya dulu, enam daripada 10 lagu berjaya jadi single. Radio main semua dan saya sangat-sangat bersyukur. Album yang seterusnya pula, lima lagu berjaya jadi single. Kita tidak pilih lagu tapi radio yang mainkan.

“Jadi kita kena sentiasa pastikan setiap lagu ada potensi jadi single supaya setiap orang dapat dan boleh berhubung dengan lagu kita. Kalau boleh, setiap album kita ada lagu yang boleh jadi single. Yang lebih baik lagi, dalam satu album 10 lagu boleh jadi single,” akhirinya. – 19 Februari, 2024

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Islam larang tegur raja, pemerintah tanpa adab, taat setia bukan perkara main-main: Mimbar

Taat setia kepada raja, pemerintah, pemimpin dan ketua harus ditunjukkan sebaik mungkin, malah bukan perkara main-main yang boleh dipandang sebelah mata.

Around 600 worshippers assembled in Batu Caves to perform religious song

They gathered in response to the recent case of the Moroccan influencer reciting Quranic verses at the temple

Related