Shasha Abedul azam mahu jadi pelakon versatil seperti Nabila Huda

Sasha akui membawakan watak Jannah yang penuh depresi dalam Project: Exit bukanlah sesuatu yang mudah

2:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bintang muda, Shasha Abedul tidak menyangka hasrat dan impiannya untuk berlakon dengan aktres senior, Nabila Huda menjadi kenyataan apabila digandingkan melalui drama bersiri, Project: Exit.

Menyifatkan ia sebagai impian yang menjadi kenyataan, Shasha ketika ditemui Scoop berkata, dia sebetulnya amat mengidolakan Nabila Huda dan ingin menjadi sepertinya yang berupaya membawakan pelbagai karakter dengan begitu versatil dan berkesan.

“Saya tahu kata-kata saya ini mungkin akan kedengaran klise. Tapi, saya memang sangat menyanjungi Nabila Huda.

“Sebelum ini saya pernah diwawancara dan pernah ditanya soalan, kalau boleh nak berlakon dengan siapa? Saya cakap Nabila Huda. Tahu-tahu dapat. Bila dapat, alhamdulillah. Impian yang jadi kenyataan.

“Saya juga mahu jadi seperti Nabila. Sebab dia versatil dan boleh buat apa sahaja karakter. Dia adalah sumber inspirasi bagi saya,” katanya dengan nada ceria.

Menurut Shasha, awalnya dia berasa sangat gementar untuk berlakon bersama idolanya itu di set penggambaran.

Kehebatan aktres senior, Nabila Huda sentiasa menjadi idola Shasha Abedul. – Gambar Instagram Nabila Huda, 18 Februari, 2024

“Tapi, bila kita dah duduk bersama, berbual dan sudah keserasian barulah saya okay. Di set dia sangatlah macam orang biasa. Dia bukan seperti yang kita bayangkan akan begitu dan begini.

“Saya tidaklah membayangkan dia seorang ‘diva’. Tapi, bila kita sudah meletakkan dia suatu tahap, kita anggap dia berada di atas kita. Tapi, dia sangat merendah diri dan membuatkan kita rasa selesa.

“Bila dapat duduk dan berbual dengan dia, saya banyak bertanya tentang pengalamannya sebagai pelakon dan bagaimana untuk membawakan sesuatu karakter. Bila jumpa dia, saya cuba tanya banyak benda daripada dia.

“Saya juga teruja untuk membawakan babak dimarahi Nabila Huda yang menjadi Ibu Zan di dalam drama bersiri ini. Sebaik sahaja mendapat tahu mengenai kewujudan babak itu semasa ‘script reading’, saya cuba berlatih dan saya rasa saya mampu melakukannya,” katanya.

Shasha menganggap watak Jannah dalam Project: Exit, karakter yang berat kerana dia menjadi seorang pelajar yang datang daripada latar belakang keluarga bermasalah serta menghadapi tekanan mental. – Ellyna Ali/Scoop, 18 Februari, 2024

Mengulas mengenai watak Jannah yang dibawanya di dalam Project: Exit, Shasha berkata, ia memang karakter yang berat dan mencabar kerana Jannah adalah seorang pelajar yang datang daripada latar belakang keluarga yang bermasalah serta menghadapi tekanan mental.

“Bila hendak bawa karakter Jannah, ia sangat berbeza dengan diri saya kerana dia seorang yang penuh dengan depresi. Untuk menyerap masuk Jannah ke dalam diri saya, saya terpaksa gunakan kaedah untuk hidup di dalam karakter itu seminggu sebelum saya masuk ke set penggambaran.

“Mula-mula ia memberikan kesan juga kepada diri saya. Sebab, bila karakter itu sudah masuk di dalam badan, adakalanya saya tidak bezakan antara Jannah dan diri saya. Ia jadi bertembung, sehingga saya terpaksa tenangkan diri.

“Adakalanya juga saya mempunyai masalah untuk keluarkan Jannah di dalam diri saya. Bila balik ke rumah pun, Jannah masih ada dalam diri saya. Sampai saya terpaksa kawal,” katanya.

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Leaders bicker while Indians suffer, Santiago slams fellow politicians

Veteran DAP man says angry politicians uncaring for the plight of Indians are the reason why some problems remain unresolved over decades

Related