PETALING JAYA — Penyanyi Anuar Zain menghadiahkan lebih 1,000 patung beruang (teddy bear) yang berbeza saiz buat peminatnya yang datang menghadiri acara Anuar Zain Premium Showcase Exclusive Up Close & Personal, lewat petang tadi.
Enggan mendedahkan jumlah kos pemberian hadiah tersebut, Anuar bagaimanapun memberitahu Scoop, sebetulnya ia tidak termasuk dalam bajet kos produksi acara showcase yang diadakan di Jio Space itu.
“Hadiah patung beruang ini datang daripada Anuar Zain Network Sdn Bhd (syarikat produksinya sendiri). Demi untuk peminat-peminat, apa salahnya. Kita belanjalah. Siapa yang dapat, dapatlah,” katanya yang tampil dengan gaya fesyen santai rekaan Datuk Bernard Chandran.
Menurut Anuar lagi, pada acara itu, pihaknya mengagihkan lebih 1,000 patung beruang tersebut kepada peminat, pihak media serta pasukan produksi.
“Yang kecil, sebanyak 800 patung yang mana kita bagi pada semua orang. Yang sederhana besar, sebanyak 250 patung. Yang paling besar sekali, kita bagi dua patung sahaja.
“Bagi saya patung beruang ini adalah simbol kasih sayang, Kita boleh peluk dan merasai sesuatu yang positif. Kalau orang tengah stres pegang sajalah patung itu, mesti mereka akan rasa okey,” katanya.
Menurutnya lagi, biarpun sering mengadakan konsert berskala besar, pada masa sama dia cukup seronok jika dapat melakukan acara showcase berskala kecil tetapi cukup santai dan cukup intim sebegini.
“Dapat membuat konsert yang besar memang sesuatu yang ‘grand’ dan menarik. Tetapi showcase yang kecil dan intim sebegini, perasaannya sangat berbeza.
“Jadi kita tidak boleh bandingkan konsert besar dengan showcase yang kecil dan kalau boleh saya ingin lakukan kedua-duanya. Untuk showcase yang kecil macam ini, tidak kisahlah kalau bawah 1,000 orang atau 500 orang sahaja yang datang.
“Bila kita dapat rasa begitu dekat dengan peminat, saya rasa sangat dihargai setelah berapa lama menyanyi.
“Malah, kita akan dapat rasa dan dapat lihat dengan jelas lagi kasih sayang dan sokongan yang diberikan peminat. Itu yang saya suka. Sebab itu, saya mahu sangat buat showcase ini,” katanya.
Dalam showcase yang dihadiri 1,000 peminat itu, Anuar menyampaikan lebih 15 lagu termasuk lagu hitnya seperti Sedetik Lebih, Lelaki Ini, Keabadian Cinta, Kau Bunga Cintaku, Suria dan Siarra, Sesucinya Cintamu.
Bahkan, Anuar turut membawakan beberapa lagu hit daripada penyanyi dalam dan luar negara seperti Hello (Lionel Ritchie), Di Dalam Memori Ini (Datuk Sheila Majid) dan Hujan (Datuk Sudirman Haji Arshad).
Anuar turut mengajak beberapa peminatnya untuk tampil ke pentas menyertai permainan yang menghiburkan serta sesekali mencampakkan patung beruang bersaiz sederhana besar.
Dia turut turun ke pentas untuk berjumpa peminat sambil menyanyi di hadapan mereka, bergambar atau bersalaman.
Biarpun showcase ini mengambil masa sedikit lama untuk sampai ke penghujungnya, rata-rata peminatnya pulang dengan senyuman dan berpuas hati dengan persembahan itu. – 17 Februari, 2024