KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bersedia menjadi perantara bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh seniwati, Datuk Sarimah Ahmad berhubung empat filem terbitan syarikat produksinya yang didakwa masih berada di tangan seorang penerbit bergelar Datuk.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib ketika dihubungi Scoop berkata, beliau sedia maklum mengenai perkara itu namun masih belum mendapat maklumat jelas berhubung isu terbabit.
Jelasnya, Finas kini sedang cuba menghubungi Sarimah, 82, serta pihak yang didakwa menyimpan empat filem tersebut iaitu Detik 12 Malam, Jejak Bertapak, Dia Ibuku dan Kabus Tengah Hari.
“Saya masih belum mendapat butiran jelas mengenai isu ini dan perlu memahami apakah yang terkandung dalam perjanjian antara Sarimah serta pihak terbabit dan saya percaya mereka ada menandatangani dokumen ketika mengendalikan urusan berkaitan filem-filem tersebut.
“Kita ingin tahu adakah dokumen itu melibatkan penjualan hak cipta keempat-empat filem tersebut. Apapun kita akan cuba bertindak dengan kadar segera, saya jangkakan kita akan mengetahui perkara sebenar selewat-lewatnya minggu hadapan,” katanya.
Semalam, Sarimah meluahkan kekesalannya berhubung sikap seorang usahawan dan penerbit bergelar Datuk yang gagal menunaikan janji untuk memulangkan empat pita filem yang diterbitkan di bawah syarikat produksinya bersama arwah suaminya, Yusof Majid.
Penerbit berkenaan yang bergelar Datuk, kata Sarimah, telah mendakwa bahawa Allahyarham Yusof berhutang dengannya dan bagi melunaskan hutang tersebut, beliau telah mengambil empat filem tersebut bagi tujuan tayangan serta membuat duit.
Menurut Sarimah, pihak tersebut memberitahu filem terbabit akan diserahkan kepadanya selepas hutang itu diselesaikan, namun sehingga kini, selepas 36 tahun, ia masih belum dipulangkan.
Mengulas lanjut, kemelut yang dihadapi seniwati tersebut adalah isu besar kerana melibatkan hak dan harta intelek.
📹 ‘Kembalikan 4 filem saya’, Sarimah Ahmad harap kerajaan bantu selesai kemelut dihadapinya. pic.twitter.com/HWs0nnshwH
— Scoop (@Scoopdotmy) February 16, 2024
“Datuk Sarimah sendiri adalah seorang legenda tanah air dan filem-filemnya itu sudah boleh dianggap sebagai khazanah negara. Jadi kita mahu sesiapa yang menyimpan filem-filemnya itu supaya pulangkan semula hak dan harta inteleknya itu kepada beliau,’’ katanya.
Azmir memberitahu, jika semua filem itu dapat dipulangkan, Finas bersedia membantu untuk melakukan pendigitalan terhadap karya-karya filem tersebut.
“Malah, kita juga akan bantu Datuk Sarimah untuk membuat kontrak baharu terhadap hak cipta atau mendapatkan hak royalti filem-filemnya itu,” katanya lagi.
Sementara itu, Menteri di Kementerian Komunikasi Malaysia, Fahmi Fadzil pula mengakui bahawa terdapat cabaran dalam menyelesaikan isu berkaitan empat filem milik Sarimah itu.
“Kami perlu membantu memastikan artis, mereka yang terlibat sebagai pelakon dan kru, memahami apa yang mereka tandatangani, apa faedah yang mereka terima.
“Sebab itu saya telah mengarahkan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia), sebagai contoh, menyediakan kontrak standard di mana perkara-perkara tertentu dimasukkan untuk memastikan kebajikan dan masa depan mereka yang terlibat,” katanya seperti dilapor media. – 17 Februari, 2024