Lepas anjurkan festival muzik wanita, Zamaera makin berani keluar dari zon selesa dengan Big Fish

Lagu Big Fish dihasilkan bersama penerbit muzik dan DJ asal Kuala Lumpur, Daaliah

7:10 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Penyanyi rap yang juga komposer berbakat besar, Zamaera mengakui persekitaran norma yang konservatif di Malaysia, menyukarkan dirinya sebagai pengkarya seni untuk menampakkan jiwanya yang sebenar dan tampil dengan diri yang asli.

Namun, kata Zamaera, sebagai seorang yang berfikiran terbuka, berani dan tidak mudah gentar, dia percaya jika dia ingin lebih berkembang dalam kerjaya seninya, dia perlu keluar dari kepompong zon selesanya.

Itulah yang cuba Zamaera atau Sharifah Zamaera Al Edros Syed Zafilen, 28, luahkan menerusi lagu Big Fish ciptaannya bersama penerbit muzik dan DJ asal Kuala Lumpur, Daaliah.

Penerbit muzik dan DJ asal Kuala Lumpur, Daaliah. – Gambar PR, 9 Februari, 2024

“Lagu ini merupakan pengenalan buat saya sebagai artis ‘independent’ yang berusaha keluar dari ruangan selesa tersebut.

“Pertemuan yang tidak disangka bersama Daaliah menghasilkan sebuah single yang sungguh bermakna buat saya sebagai permulaan 2024, kerana saya rasa seperti ‘seekor ikan yang besar dalam kolam yang kecil’,” jelasnya.

Daaliah bertemu dengan Zamaera sebaik sahaja pulang daripada menjayakan siri jelajah muziknya di Eropah dan mereka berkongsi perasaan sebagai anak seni di Malaysia.

“Keseluruhan proses pembikinan single ini kaya dengan pengalaman berharga, Zamaera dan saya mempunyai persamaan di mana kami berdua adalah pengkarya ‘independent’, segala aspek dari penghasilan lagu ke rakaman muzik video dan pemasaran muzik kesemuanya dilakukan penuh teliti.

“Karya ini diilhamkan daripada sub-genre muzik elektronik house yang terkenal pada awal 90-an dari UK dikenali sebagai ‘Garage’ atau singkatannya UKG. Beberapa artis terkenal yang membuat muzik Garage ialah Craig David, Jorja Smith dan Wiley,” katanya.

Mengulas mengenai acara festival muzik ‘all-female’, Queendom Fest yang dianjurkannya di Lalaport pada tahun lalu pula, Zamaera berkata, ia adalah projek pertamanya sebagai penganjur acara dan secara keseluruhannya, ia adalah suatu kemenangan besar buat dirinya.

“Kami berjaya menyokong golongan wanita kreatif. Walaupun ia jauh dari sempurna, banyak pengajaran dipelajari sepanjang menganjurkan acara ini. Sejujurnya saya rasa ia adalah salah satu pengalaman terbaik yang saya alami.

“Menganjurkan sebuah acara dengan menampilkan 10 orang artis wanita bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi perjalanan tersebut mengajar saya keluar dari ‘zon selesa’ dan secara tidak langsung ia turut berkait dengan karya lagu baharu saya, Big Fish.

“Single Big Fish turut dipersembahkan ketika acara tersebut walaupun terlebih dahulu diperdengarkan di Axean Festival di Singapura dan sambutannya amatlah memberangsangkan, ramai yang sukakannya dan saya tidak sabar untuk lagu ini dilancarkan secara rasmi!” katanya yang terkenal dengan lagu Kill My Vibe dan Dulu.

Ditanya apa yang boleh dijangkakan daripadanya dalam tahun 2024, dalam nada teruja, Zamaera memaklumkan dia akan bekerjasama dengan label bertaraf antarabangsa.

“Saya bakal bekerjasama dengan sebuah label bertaraf antarabangsa, menghasilkan sebuah album penuh, siri jelajah dunia dan juga Queendom Fest 2.0!

“Bersedia untuk muzik baharu dan era baharu Zamaera,” katanya. – 9 Februari, 2024

Topics

 

Popular

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related