SHAH ALAM – Pempengaruh media sosial dan usahawan terkenal, Aisyah Hijanah meluahkan rasa syukur apabila prosedur harta sepencarian yang difailkan olehnya sudah selesai dibicarakan di Mahkamah Syariah Shah Alam, pagi tadi.
Menurut Aisyah atau nama sebenarnya Aisyah Hijanah Azhari, 25, syarikat Hijanah yang sebelum ini diusahakan olehnya dan suami, Alif Teega kini sudah sah menjadi miliknya.
“Hari ini kita baru sahaja habis perbicaraan untuk kes harta sepencarian yang kita sudah persetujui sebelum ini.
“Hari ini selesai sudah semua dan disahkan oleh hakim. Syarikat Hijanah ini kami uruskan bersama tapi alhamdulillah Alif pun sudah serahkan sepenuhnya atas nama Aisyah,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Walau bagaimanapun Aisyah berkata, suaminya masih mempunyai peranan yang besar dalam syarikat mereka.
“Saya akui memang banyak sumbangan Alif terhadap syarikat malah sehingga ke hari ini. Dengan keadaan saya yang sedang mengandung, Alif masih membantu saya hingga sekarang.
“Kalau orang luar cakap Alif kini kosong dan tiada apa-apa sumbangan terhadap syarikat, itu adalah tidak benar,” jelasnya.
Sementara itu bagi Alif pula, dia menolak dakwaan yang mengatakan isterinya tamakkan harta, sebaliknya perniagaan mereka telah diuruskan oleh Aisyah sejak dari awal lagi.
“Apa yang kita buat hari ini bukan menunjukkan isteri tamak, nak bolot semua atau sebagai langkah berjaga-jaga. Ini adalah tentang haknya.
“Selayaknya Aisyah dapat sepenuhnya harta ini. Benda ini sepatutnya dibuat sebelum poligami. Isteri ada hak minta apa yang dia nak,” katanya.
Ditanya mengenai pembahagian harta buat isteri kedua yang dikenali sebagai Fatin, Alif berkata, Fatin mempunyai bahagiannya yang tersendiri.
“Rezeki dia ada. Tak semestinya kita bagi (Aisyah) semuanya, dia (Fatin) tidak dapat apa. Dia (Aisyah) sesuai dapat apa yang dia dapat.
“Takkan yang diusahakan ini, yang kedua nak merasa. Biarlah Aisyah uruskan. Dia (Fatin) ada rezeki dia. Ada bahagian dia,” katanya.
Terdahulu, Aisyah mendedahkan segala harta sepencarian bersama suami sudah dipindah milik penuh kepada dirinya.
Harta sepencarian yang dimaksudkan termasuklah pegangan perniagaan tudung, rumah, kereta dan aset-aset lain.
Dalam pada itu, Aisyah turut berkongsikan berita gembira yang mana dia bakal melahirkan anak ketiganya pada Mac depan.
“Alhamdulillah bulan depan saya akan bersalin bayi perempuan. Pada awalnya pergerakan bayi sedikit perlahan. Akhir-akhir ini semakin baik,” katanya. – 5 Februari, 2024