KUALA LUMPUR – Berita baik buat peminat tegar Forteen. Selepas empat tahun lebih menyepi tanpa karya baharu, akhirnya kumpulan pop balada lelaki ini kembali dengan lagu baharu berjudul Noktah Epilog Cinta.
Apa yang menarik, lagu ciptaan sepenuhnya Datuk Norman Abd Halim dan Syahmi Afif ini menyaksikan kembalinya Izzue Islam ke kumpulan asalnya itu.
Namun, ia bukanlah bermakna Izzue telah menyertai semula Forteen selepas mengambil keputusan menarik diri secara rasmi daripada kumpulan itu pada 18 November 2018 akibat perselisihan faham di antara mereka.
Sebaliknya, Izzue kembali sebagai penyanyi undangan Forteen menerusi kolaborasi lagu tersebut yang mana konsep dan idea muzik videonya juga merupakan cetusan daripada Norman dan Syahmi.
Selepas Izzue mengambil keputusan keluar dari Forteen, tiga anggota asalnya iaitu Saiful Ridzuan Abdul Hamid atau Aris Lufias, Muhammad Ridzuan Sharifuddin (One Sharifuddin) dan Mohamad Arif Ameerais Azhar (Ameerais Azhar) meneruskan perjuangan muzik mereka dengan merakamkan dua lagu iaitu Diam Sahaja untuk OST Cinta Non Grata dan Raya sekitar 2019.
Siapa sangka mereka akan bergabung semula dan melakukan reunion menerusi lagu baharu ini yang mana muzik video rasminya baru sahaja dimuat naik di saluran YouTube, KRU Music kira-kira dua jam lalu.
Rata-rata peminat tegar Forteen mengakui, mereka terharu bercampur teruja dengan kolaborasi Forteen bersama Izzue.
Ia memang sesuatu yang telah lama dinantikan, apatah lagi bila melihat Izzue berpeluang membawakan bahagian solonya sendiri di dalam lagu tersebut.
Bahkan, mereka juga berpendapat vokal Izzue juga sudah mengalami banyak perubahan dan sudah semakin bagus. – 4 Februari, 2024