DFP buka pentas 2024 dengan konsert keroncong dan ghazal, tampilkan Yusni Hamid, Haziq Rosebi dan Asmidar

Konsert ini dianjurkan bagi menyemarakkan kembali lagu tradisional berentak keroncong dan ghazal

2:48 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dewan Filharmonik Petronas (DFP) bakal membuka pentas tahun ini dengan Konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal yang akan berlangsung pada 2 Mac 2024.

Konsert istimewa ini bakal menampilkan tiga penyanyi hebat termasuklah legenda seni suara, Datuk Yusni Hamid, Haziq Rosebi dan Asmidar.

Konsert yang bakal dipimpin Ahmad Muriz Che Rose dengan iringan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) ini akan menyaksikan rangkuman tradisi dan muzik harmoni dalam satu keraian budaya yang gemilang.

Kali terakhir MPO mempersembahkan konsert bertemakan tradisional ialah pada 2012 melalui konsert Keroncong Merdeka.

Menurut Ahmad Muriz, kombinasi dinamik ini bakal menjadi sebuah sinergi untuk kelangsungan legasi irama keroncong dan ghazal agar terus hidup dan tidak hilang ditelan zaman.

“Saya rasa masanya sudah tiba untuk kita mengetengahkan kembali konsert yang berkonsepkan keroncong dan ghazal. Tiga penyanyi yang dipilih ini merupakan mereka yang cukup dikenali dengan muzik sebegini.

“Datuk Yusni Hamid merupakan idola dalam muzik keroncong di Malaysia. Tidak keterlaluan jika saya kata beliau adalah rujukan untuk muzik keroncong. Ramai yang menyanjung tinggi cara pembawakan dan penyampaian lagu beliau.

“Pemilihan Haziq, saya rasa memang kena pada masanya. Dia menjadi bualan sejak lagu Lemak Manis tular. Haziq juga dikenali kerana ton suaranya yang seakan Ahmad Jais.

“Asmidar juga seorang penyanyi hebat yang boleh menyanyi pelbagai genre lagu termasuklah irama tradisional. Kami rasa dia salah seorang penyanyi yang boleh menggalas tanggungjawab menjayakan konsert ini,” katanya kepada Scoop.

Kongsi Ahmad Muriz lagi, selain daripada pemuzik orkestra, mereka juga akan menampilkan tujuh pemain alat muzik tradisional untuk mengiringi konsert itu nanti.

“Pemuzik tradisional ini akan membawa ‘roh’ lagu-lagu keroncong dan ghazal pada malam itu nanti,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Yusni, beliau meluahkan rasa gembira kerana dapat kembali ke pentas DFP setelah lebih 12 tahun.

“Sebagai seorang penyanyi, menyanyi di DFP menjadi idaman setiap penyanyi. Menyanyi di DFP melengkapkan portfolio kita sebagai penyanyi.

“Saya gembira apabila konsert keroncong dan ghazal ini dianjurkan. Ini kerana sejak Dayang Nurfaizah mengeluarkan album Belagu, ramai anak muda sukakan lagu-lagu Melayu,” katanya.

Bagi Haziq pula, dia merasakan dirinya sangat kerdil apabila berpeluang menyanyi bersama barisan penyanyi hebat tanah air.

“Saya banyak belajar dengan mereka termasuklah Ahmad Muriz. Saya akan cuba berikan yang terbaik untuk mempromosikan dan mengekalkan lagu tradisi kita supaya ia tidak dilupakan.

“Saya harap konsert ini akan ditonton oleh seramai mungkin,” ujarnya.

Antara lagu yang akan didendangkan pada konsert itu nanti adalah Sayang Di Sayang, Bisikan Hati, Tinggallah Mustika Hati, Melati Di Tapal Batas, Puteri Ledang, Kini Hatiku Telah Tertawan, Di Ambang Sore, Kenang Daku Dalam Doamu dan Pak Ngah Balik.

Harga tiket untuk menonton konsert ini bermula daripada RM218, RM298, RM368, RM408, RM458 dan RM498.

Tiket boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman web rasmi MPO ataupun di kaunter tiket. – 26 Januari, 2024

Topics

 

Popular

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related