KUALA LUMPUR – Daripada seorang tentera Jepun bergelar Leftenan Azu dalam filem Pagari Bulan, pelakon Andy Teh terus diberi peluang membawakan watak antagonis bernama Sachai di dalam filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah terbitan Kembara Studio.
Sachai adalah ketua samseng dari Tanah Besar China yang turut membantu Kapten Syers dan Jalak Pengkor dalam usaha menangkap Tok Gajah dan menghalangnya daripada mendapatkan sokongan Sultan dan pahlawan Melayu di Terengganu.
Dalam hantaran terbaharunya, Andy Teh berseloroh dengan pengikutnya dan bertanya sama ada mereka terjumpa gigi emas 24 karat yang dipakainya saat menjadi Sachai.
“Ada terjumpa gigi emas 24 karat Sachai? Bila tengok filem Pendekar Awang kat pawagam nanti, tolong carikan ya,” tulisnya.
Andy turut memuat naik proses bagaimana jurumekap menyoleknya serta mewarnakan sebatang dua giginya menjadi gelap dan sebahagian pula dengan gigi berwarna emas.
Mengenai wataknya sebagai Sachai, Andy menjelaskan, antara aksi stunt yang sukar dan menakutkan untuk dia laksanakan di dalam filem epik tersebut adalah memanah sambil berpusing ke belakang.
“Nampak senang, tapi bukan untuk Andy. Terima kasih kepada jurulatih, Panah Lagenda dengan ketepatan dia memanah,” katanya.
Sementara untuk babak lawan pula, Andy mengakui dia sangat berhati-hati untuk melakukan ketepatan serangan supaya tidak terpukul stuntman.
“Tapi, apa yang menjadikan Sachai nampak lebih hebat adalah reaksi stuntman kita iaitu Aliff dan Chem. Kredit harus diberikan kepada mereka. Terima kasih,” katanya.
Apapun, kerjaya lakonan Andy dalam filem nampaknya semakin menyerlah sejak akhir-akhir ini dan tidak mustahil banyak lagi tawaran yang akan datang kepadanya selepas ini.
Dalam perkembangan terbaharu, Andy yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Akademi Elitez Mixed Martial Arts Fitness telah membuka cawangan terbaharu akademi seni mempertahankan diri. – 25 Januari, 2024