KUALA LUMPUR – Pelakon popular, Shukri Yahaya memohon maaf kerana melakonkan babak panas di dalam bilik mandi bersama aktres Alya Iman dalam drama terbaru lakonan mereka berjudul Layang Layang Perkahwinan yang kini sedang ditayangkan di Astro Ria.
Menurut Shukri atau nama lengkapnya Mohd Shukri Yahaya, 36, dia terlalu teruja untuk melakonkan babak tersebut sehingga terlupa mengenai sensitiviti masyarakat Malaysia.
“Saya minta maaf dengan apa yang terjadi. Itu semua adalah kesilapan saya sendiri. Itu kali pertama saya lakonkan babak seperti itu.
“Saya rasa teruja dengan apa yang saya nak buat. Saya tak fikir sensitiviti masyarakat. Ia tak akan berulang kembali,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Layang Layang Perkahwinan.
Menurutnya, pada mulanya dia tidak tahu ada babak tersebut dalam drama arahan Eyra Rahman itu, dan hanya mengetahuinya ketika berada di set penggambaran.
“Terus terang saya tak suka baca skrip sehinggalah berada di set. Apa pun drama yang saya buat, saya tak akan baca skrip sampai habis. Saya suka membuat kejutan untuk diri saya sendiri.
“Pada mulanya saya fikirkan babak itu biasa sahaja kerana hanya menampakkan bahu. Tetapi selepas disunting, saya faham ia sangat sensitif,” jelasnya.
Kongsi bapa kepada dua anak itu, pada mulanya dia menerima tawaran drama tersebut kerana ingin lari daripada watak sama.
“Orang selalu kata saya asyik bawa watak sama. Watak lelaki bodoh, watak lelaki begitu. Kalau nak bawa watak berlainan untuk filem, saya tak tahu mungkin orang filem kurang percaya pada saya.
“Saya anggap Layang Layang Perkahwinan ini satu skrip berlainan daripada yang saya pernah buat sebelum ini. Jadi saya cuba. Rupa-rupanya ia masih tak boleh diterima orang ramai bila babak seperti ini ditonjolkan di kaca TV,” katanya.
Ditanya adakah timbul penyesalan kerana membawakan watak sebegini, kata Shukri dia tidak pernah kesal kerana perkara itu sudah berlaku.
Drama Layang Layang Perkahwinan turut dibintangi oleh Ezzanie Jasny, Keith Foo, Datin Nina Juren dan ramai lagi.
Terdahulu tular babak panas membabitkan watak Shukri yang sedang mandi kemudian didatangi oleh Alya lalu diajak mandi bersama.
Babak tersebut dikecam netizen kerana dikatakan mengandungi unsur lucah ‘soft porn’. – 23 Januari, 2024