Tunku Mona percaya Rain Town dan hasil kerja filemnya penyebab dia tersenarai dalam Forbes 50 Over 50: Asia 2024

Tunku Mona adalah antara tiga wanita kelahiran Malaysia yang berjaya tersenarai di dalam majalah bisnes cukup berprestij ini

11:21 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Produser dan pengarah filem, Tunku Mona Riza tidak menyangka dirinya tersenarai sebagai antara 50 wanita berpengaruh pada usia yang melebihi separuh abad dalam Forbes 50 Over 50: Asia 2024.

Bahkan, Tunku Mona mengakui terkejut dan tidak percaya apabila menjadi pilihan antara tiga wanita kelahiran Malaysia yang berjaya tersenarai di dalam majalah bisnes dan kewangan yang cukup berprestij itu.

“Saya menerima perkhabaran itu daripada suami saya, Haris Sulong dan saya bertanya mengapa saya yang dipilih, sedangkan saya hanyalah seorang pembikin filem yang masih bergelut dan terlalu jauh untuk menjadi seorang jutawan.

“Sebaik sahaja dia menunjukkan saya mengenai senarai tersebut, tidak lama kemudian saya menerima banyak ucapan tahniah dan saya cuba mencari jawapan mengenai kriteria pemilihan saya.

“Malam semalam (kelmarin), sewaktu menonton TV, saya terlihat dua orang wanita Amerika Syarikat sedang berbincang mengenai Forbes 50 Over 50: Asia 2024. Banyak yang mereka perkatakan dan dari situ saya dapat tahu, bahawa pemilihan tersebut dilakukan terhadap perkembangan semasa kesemua wanita-wanita ini.

“Dari situ, saya memahami bahawa Forbes telah mencari banyak maklumat mengenai diri saya serta melakukan kajian terhadap kerja-kerja filem saya, termasuk Redha yang berkisar mengenai anak autism dan bagaimana filem itu banyak membantu komuniti di negara ini,” katanya sewaktu dihubungi Scoop.

Tunku Mona Riza terkejut namanya tersenarai dalam Forbes 50 Over 50: Asia 2024, namun percaya pemilihan itu dibuat berdasarkan perkembangan dan kualiti kerjanya dalam penghasilan filem – Gambar Instagram, 19 Januari, 2024

Menurut Tunku Mona, dia juga menyedari Forbes turut mengikuti perkembangan filem baharu yang diterbitkan dan diarahkannya, iaitu Rain Town.

“Saya pernah memberitahu wartawan bahawa saya menghasilkan filem Cina berbahasa Kantonis itu kerana saya mahu melihat industri kita ini berkembang tanpa sempadan. Tidak kira apa bahasa, kita berkongsi cerita sama dan itu yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik.

“Saya mahu sekali melihat sinema Malaysia ini bersatu kerana saya memang tidak gemar dan tidak suka sekali dengan perkataan ‘segregated’ (diasingkan). Saya rasa dari wawancara itu juga, mereka mengikuti berita mengenai Rain Town,” katanya.

Mengulas mengenai Rain Town yang bakal ditayangkan di pawagam Malaysia pada 8 Februari ini, Tunku Mona mengakui dia terkejut apabila penonton yang datang di beberapa festival filem antarabangsa yang disertai Rain Town dapat menerima filem tersebut.

“Sebagai pengarah, saya telah melakukan tugas saya untuk menyiapkan filem ini dengan sebaiknya dan saya bersyukur kerana mempunyai tim pemasaran yang sangat bekerja keras, walaupun bajet untuk menghasilkan filem ini sangat kecil. Selebihnya, saya serahkan kepada Allah Taala,” katanya.

Tunku Mona, 57, yang juga pengasas kepada syarikat produksi, Current Pictures turut menjadi antara enam wanita dalam industri kreatif hiburan muzik dan perfileman yang terpilih dalam senarai Forbes 50 Over 50: Asia 2024.

Selain Tunku Mona, turut berada di dalam senarai ini adalah pelakon berkaliber Indonesia, Christine Hakim, 67; aktres China, Lisa Lu, 96; penyanyi Jepun, Junko Akimoto, 76; aktres Filipina, Dolly le Leon, 54 serta penghibur Australia, Kylie Minogue, 55. – 19 Januari, 2024

Topics

 

Popular

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related