KUALA LUMPUR – Pengacara terkenal, Awal Ashaari tidak bersetuju dengan kenyataan seorang penyanyi yang merasakan sekolah hanya membuang masa.
Menurut Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 43, dia terkejut tatkala melihat klip video kenyataan penyanyi tersebut.
“Sebagai figura awam, kita ada tanggungjawab kepada masyarakat. Apa sahaja yang kita cakap, akan digunakan oleh masyarakat.
“Sejujurnya saya terkejut melihat klip video temubual bersama penyanyi tersebut. Saya tiada masalah dengan dia. Saya suka dia. Saya rasa dia sangat berjaya dan tahu apa yang dia lakukan.
“Tetapi saya rasa, ia akan jadi lebih baik jika dia memberikan kenyataan tersebut dengan cara yang lebih berhemah. Apa sahaja yang anda cakap, akan ditularkan. Orang-orang yang tengok pula adalah generasi muda yang tengah bergelut sama ada nak belajar atau pun tidak.
“Kita semua tahu setiap orang perlu pergi sekolah. Bila saya tengok klip itu saya rasa pelik. Mungkin dia tak maksudkan sebegitu,” katanya ketika ditemui pada program bual bicara Menangani Krisis, Membina Reputasi anjuran pelajar Ijazah Sarjana Pengurusan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tambah Awal, pelajaran adalah sangat penting tidak kira apa jua cita-cita yang ingin dikejar.
“Semua orang perlu melalui proses pembelajaran sebelum mereka menjadi seseorang. Tak kisahlah nak jadi ‘influencer’ atau apa sahaja. Ramai sahaja ‘influencer’ di luar sana yang berpendidikan. Anda boleh kecapi apa sahaja pada masa hadapan. Tetapi apa yang paling penting adalah habiskan pelajaran terlebih dahulu.
“Kalau nak cakap apa yang kita belajar di sekolah tak penting atau tak digunakan di masa hadapan saya rasa kalau kita tak belajar mengeja dulu, tak mungkin kita boleh membaca. Kalau kita tak belajar di sekolah tak mungkin kita boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik,” katanya.
Melihat situasi ramai anak muda berlumba-lumba untuk menjadi ‘influencer’, perkara ini menimbulkan kebimbangan Awal mengenai generasi bagaimana bakal terhasil pada masa hadapan.
“Masyarakat macam mana yang kita nak hasilkan di masa hadapan? Takkan kita nak hasilkan ‘influencer’ ataupun pencipta kandungan sahaja? Kita nak juga ada bakal doktor, arkitek, jurutera, ahli politik dan sebagainya. Kita perlukan cita-cita yang sebenar di dalam dunia realiti ini.
“Jika anda rasa jadi ‘influencer’ boleh buat banyak duit silakan. Tetapi anda perlu ingat ibu bapa anda yang dah berhabis duit bagi anda pelajaran nak tengok anda berjaya dalam bidang profesional,” ujarnya.
Sebagai bapa kepada dua anak perempuan yang semakin membesar, kata Awal anaknya terutama Lara Alana juga mudah terpengaruh dengan apa yang dia lihat.
“Lara pernah cakap dia nak jadi ‘influencer’ dan selebriti. Lepas tu dia tengok mak dia tengah buat rambut dia nak jadi pendandan rambut pula. Bila dia tengok cikgu piano dia nak jadi cikgu piano pula.
“Nampak tak mereka belajar melalui contoh depan mata. Jadi kita sebagai orang yang matang dan mampu berfikir, kita perlu tunjukkan contoh yang baik,” kongsinya. – 16 Januari, 2024