KUALA LUMPUR – Kunjungan kali kedua artis terkenal dari Korea Selatan, Cha Eun-woo ke Malaysia nyata membuatkan ribuan peminatnya di sini tidak keruan.
Diterbangkan khas oleh Skechers Malaysia untuk majlis bertemu peminat sempena pembukaan butik baharu jenama itu di pusat beli-belah The Exchange TRX, ribuan peminat aktor dan penyanyi kacak ini telah berkumpul di sana.
Scoop telah diundang untuk sesi sidang media bersama pelakon drama bersiri True Beauty ini sebelum sesi bertemu peminat berlangsung.
Menurut Eun-Woo, dia teruja untuk kembali ke Malaysia selepas lawatan kali pertama pada tahun 2020 yang lalu.
“Apa khabar? (bertutur dalam bahasa Melayu), saya rasa sangat gembira untuk kembali ke Malaysia untuk kali kedua.
“Tak sabar rasanya untuk bertemu dengan peminat-peminat saya di sini. Mereka sangat mengalu-alukan saya dan menyokong saya. Jadi saya mahu membalas semula kepada mereka.
“Terima kasih kepada Skechers Malaysia kerana membawa saya ke sini. Saya sangat sukakan bandar Kuala Lumpur dan negara ini,” katanya.
Eun-Woo juga fasih bertutur dalam bahasa Inggeris, namun sesekali dia akan berturut dalam bahasa Korea dan diterjemahkan oleh juru bahasa.
Ditanya adakah dia mempunyai tempat kesukaannya di Kuala Lumpur, kata Eun-Woo memandangkan dia masih baru di sini, dia belum sempat untuk meninjau sekeliling Kuala Lumpur.
“Tetapi saya sukakan pemandangan dari hotel tempat saya menginap. Dari sini jelas kelihatan menara berkembar Petronas (KLCC),” kongsinya.
Berkongsi tentang perancangan tahun baru 2024, kata ahli kumpulan Astro ini dia bakal muncul dengan album dan drama terbaru.
“Saya akan muncul dengan drama terbaru berjudul Wonderful World dan juga akan muncul dengan album baharu. Konsert untuk peminat juga akan dilakukan pada tahun ini, jadi nantikan,” katanya.
Eun-Woo juga sempat berkata bahawa dia akan kembali ke Kuala Lumpur dalam waktu terdekat. – 11 Januari 2024