KUALA LUMPUR – Dengan hanya sekali lafaz, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Mateen sah bergelar suami kepada Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah pada jam 2.15 petang tadi dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, Brunei.
Majlis akad nikah itu telah disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Brunei (RTB).
“Saya terima nikahnya Dayang Anisha Rosnah binti Adam dengan maharnya seribu ringgit tunai,” lafaz Putera Mateen.
Putera Mateen kelihatan segak memakai persalinan tradisional Melayu berwarna putih.
Usai selesai majlis akad nikah, sebanyak 17 das tembakan meriam dilepaskan di pekarangan masjid.
Istiadat perkahwinan diraja ini akan berlangsung selama 10 hari bermula pada 7 Januari lalu dengan majlis khatam al-Quran.
Putera Mateen dan isterinya akan terlibat dalam majlis kemuncak iaitu persandingan diraja yang akan berlangsung pada 14 Januari bertempat di Istana Nurul Iman. – 11 Januari, 2024