KUALA LUMPUR – Walaupun konsert Pesta Muzik Kuantan bakal diadakan di Pahang sempena menyambut kepulangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, tiada penyanyi kelahiran negeri itu dalam senarai artis yang akan membuat persembahan.
Malah, artis utama yang diundang membuat persembahan dalam konsert yang akan berlangsung di Stadium Darul Makmur itu ialah kumpulan muzik dari Indonesia, Ungu.
Turut bersama dengan Ungu ialah Khai Bahar, Naim Daniel, Nabila Razali, Ara Johari Eda Ezrin dan Den Manjo.
Menurut penganjur konsert, Datuk Dr Sivakumaran Nair dari Showpro Entertainment Sdn Bhd, biarpun tiada penyanyi utama dari Pahang, namun mereka akan menampilkan penyanyi kelahiran negeri itu untuk membuat persembahan dalam acara sebelum konsert utama bermula.
“Sebenarnya kami masih dalam proses perbincangan untuk menampilkan artis dari Pahang. Kami sudah mengenal pasti sebuah ‘band’ tempatan.
“Untuk membawa artis tersebut kami kena pastikan mereka ada kebolehan untuk membuat persembahan di atas pentas dan juga pengikut muzik mereka untuk menarik orang ramai.
“Sebelum konsert bermula kita akan buka penyertaan di media sosial agar artis terbabit mendaftar dengan kita untuk terlibat dengan acara ini nanti,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert Pesta Muzik Kuantan.
Ditanya mengapa penyanyi nombor satu negara iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak dipilih memandangkan beliau berasal dari Pahang, Sivakumaran berkata, ia disebabkan faktor kos.
“Siti Nurhaliza ialah ikon Malaysia. Terus terang saya katakan, faktor kos antara sebab kenapa kita tidak mampu untuk mengambil Siti Nurhaliza.
“Ini kerana harga tiket yang kita tawarkan adalah harga rahmah. Tiket dijual serendah RM58.
“Adakah harga tiket yang kita tawarkan mampu untuk membawa Siti Nurhaliza berada di atas pentas konsert itu nanti. Sebagai penganjur, kami perlu memikirkan kos keseluruhan,” jelasnya.
Mendengar soalan dari pihak media, Sivakumaran tidak menolak kemungkinan untuk mengundang Siti Nurhaliza menyertai konsert itu nanti.
“Mungkin kami akan menghantar satu jemputan khas buat Siti Nurhaliza untuk turut sama meraikan konsert ini nanti seperti mana yang beliau pernah lakukan di konsert AR Rahman dulu,” katanya.
Harga tiket untuk menonton konsert tersebut bermula pada harga RM58 (Sejauh Mungkin), RM88 (Demi Waktu), RM98 (Cinta Dalam Hati), RM118 (Kekasih Gelapku & Seperti Yang Dulu), RM128 (Gegar), RM388 (VIP B), RM448 (VIP A) dan RM628 (MIP).
Tiket sudah mula dijual sejak 29 Disember lalu melalui Ticket 2 U. – 7 Januari, 2024