Hamdan Senario meninggal dunia

Azlee Senario atau Azlee Jaafar ketika dihubungi Scoop benar-benar tidak dapat menahan sebak atas pemergian rakan seperjuangannya itu

2:55 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pelawak dan anggota kumpulan Senario, Hamdan atau Abdul Hamdan Mohamed Ramli, 55, yang ditidurkan akibat komplikasi buah pinggang di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru telah menghembuskan nafas terakhir, kira-kira jam 12.50 tengah hari tadi.

Azlee Senario atau Azlee Jaafar ketika dihubungi Scoop benar-benar tidak dapat menahan sebak atas pemergian rakan seperjuangannya itu.

“Hamdan dah takde!” sambil menangis itulah ayat pertama yang terpacul di mulutnya.

Setelah emosinya kembali tenang dan terkawal, Azlee kemudian menyatakan, dia benar-benar kehilangan seorang kawan dan anggota Senario yang baik seperti Hamdan.

“Bila saya muncul dalam sitkom, arwah memang selalu jadi pasangan sparring saya. Bila dia takde, ia memang satu kehilangan yang besar buat saya.

“Tapi, perancangan Allah SWT memang tiada siapa yang dapat jangka. Sehari sebelum membuat persembahan acara Wonderful Night with Senariounion di Johor Bahru, kami semua dapat berkumpul bersama dan bergurau.

“Mungkin Allah SWT memang ingin mempertemukan kami semua, sebelum dia pergi. Kebetulan tahun ini pula adalah sambutan ulang tahun Senartio ke-27,” katanya kembali sebak.

Menurut Azlee lagi, sebetulnya dari awal pagi tadi, dia asyik risau memikirkan keadaan Hamdan yang ketika itu masih kritikal.

Anggota kumpulan Senario (dari kiri), Yassin Yahya, Saiful Azam Mohamed Yusoff (Apek), Abdul Wahid Mohamad, Azlee Jaafar dan Ilya Buang Shaharum (Pak Ya) sempat melawat Hamdan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada 1 Januari lalu ketika dia ditidurkan akibat komplikasi buah pinggang. – Gambar Bernama, 5 Januari, 2024

“Sampaikan isteri saya pun tegur dan tanya kenapa saya nampak lain. Saya nampak serabut dan tak lalu makan.

“Saya beritahu isteri saya, saya risaukan Hamdan. Akhirnya tidak sangka Hamdan dah takde. Semoga Allah SWT ampunkan dosa-dosanya, Allah SWT tempatkan dia di kalangan orang-orang beriman,” katanya lagi.

Jelas Azlee lagi, dia telah menghubungi saudaranya yang memiliki van jenazah untuk membawa pulang jenazah arwah Hamdan dari HSA ke Ipoh.

“Kita jangkakan urusan di hospital akan selesai sekitar jam 3 petang dan selepas itu, jenazah arwah Hamdan akan terus dibawa pulang ke tempat tinggalnya di Ipoh,” katanya.

Allahyarham Hamdan sebelum ini dijadualkan menjayakan acara Wonderful Night with Senariounion bersama anggota Senario yang lain, iaitu Azlee, Wahid, Apek, Yassin dan Illya di Johor Bahru pada malam Ahad (31 Disember).

Namun, pada petangnya, Allahyarham Hamdan telah dimasukkan ke HSA dan ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU), HSA setelah keadaan didapati kritikal akibat jangkitan kuman selepas mengalami cirit birit dan sesak nafas.

Allahyarham Hamdan meninggalkan seorang balu, Norhamalini Ahmed, 53, dan empat cahaya mata. – 5 Januari 2023

Topics

 

Popular

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Related