KUALA LUMPUR – Membaca al-Quran adalah satu amalan sangat penting dalam kehidupan Muslim kerana kitab suci Allah itu memiliki sumber ilmu, penyelesaian masalah, perkuatan iman, kebahagiaan dan membaiki akhlak.
Maka sebab itulah, setiap Muslim harus menjadikan membaca al-Quran sebagai satu amalan yang kerap dilakukan dalam hidup mereka.
Menyedari hakikat ini, syarikat produksi A. Aida Productions yang dimiliki Datuk A. Aida memgambil inisiatif menerbitkan rancangan Artis Mengaji yang akan mula ditayangkan di saluran Salam HD di Unifi TV pada bulan Ramadan ini.
Barisan artis yang ditampilkan di dalam rancangan sebanyak 13 episod ini pula bukan calang-calang dan rata-ratanya dalam kalangan artis popular tanah air, misalnya Tomok, Ummi Nazeera, Zizi Kirana, Izzue Islam, Amira Othman, Faradhiya, Shariff Zero sehinggalah Erma Fatima.
Pengarahnya, Aini Zulkifli berkata, rancangan berdurasi 30 minit untuk setiap episod ini dihasilkan dengan tiga segmen.
“Segmen pertama iaitu mengaji memaparkan artis-artis ini mengaji dengan berpandukan tunjuk ajar daripada Ustazah Aishah Baain yang sememangnya pakar dalam soal taranum dan tajwid.
“Segmen yang kedua, tajwid pula akan memfokuskan tentang tajwid dalam bacaan, manakala segmen ketiga, tafsiran, adalah mengenai tafsiran surah tersebut, dari mana ia datang serta kebaikan dan manfaatnya.
“Surah-surah yang dipilih di dalam rancangan ini terdiri daripada surah-surah lazim yang selalunya kita baca mengerjakan solat,” katanya.
Katanya, walaupun rancangan Artis Mengaji ini mula ditayangkan pada bulan Ramadan, namun ia bukanlah sebuah rancangan yang dikhususkan pada bulan tersebut semata-mata.
“Oleh kerana ia hanya akan bersiaran hanya seminggu sekali di saluran Salam HD, rancangan Artis Mengaji ini akan dapat dinikmati sehingga dua bulan selepas berakhirnya Ramadan.
“Rancangan ini bukan sahaja mampu memupuk minat glongan kanak-kanak mahupun dewasa untuk mengaji atau membaca al-Quran tetapi ia juga mendidik penonton khsusunya dalam kalangan Muslim untuk mempelajari tajwid serta memahami tafsirannya,” katanya. – 5 Januari, 2024