KUALA LUMPUR – Pempengaruh dan usahawan terkenal, Aisyah Hijanah mendedahkan bahawa kisah hidupnya bakal difilemkan.
Perkara itu didedahkan oleh Aisyah sewaktu dia menjadi tetamu jemputan di rancangan Meletop malam tadi.
Menjawab pertanyaan pengacara Meletop iaitu Nabil Ahmad tentang fotonya bersama Laudya Cynthia Bella, Aisyah memberitahu bahawa pelakon terkenal dari Indonesia itu akan memegang watak sebagai dirinya.
“Gambar itu diambil sewaktu kunjungan saya ke Jakarta baru-baru ini. Saya diundang untuk tayangan perdana filem sekuel Buya Hamka.
“Sebenarnya kisah hidup saya akan dijadikan filem oleh produksi dari Indonesia iaitu Falcon Pictures.
“Filem ini akan menceritakan tentang kisah hidup saya dari dulu sampailah sekarang,” katanya.
Kongsinya lagi, penggambaran filem ini akan dimulakan pada bulan Jun nanti.
Aisyah mula menjadi perhatian ramai apabila berita mengenai suaminya iaitu Alif Teega yang menikah kali kedua bersama pekerja mereka sendiri menjadi tular sehingga ke Indonesia.
Malah sikap Aisyah yang dilihat tenang dan kuat menghadapi dugaan menjadi inspirasi kepada ramai wanita di luar sana. – 3 Januari 2024