KUALA LUMPUR – Juara Hero Remaja 2023, Aiman Ameer, 23 mengakui suatu ketika dahulu dia seringkali pernah ‘terasa’ apabila ada segelintir pihak yang mengutuk serta mempersendakan soal ketinggiannya.
Namun, apabila memikirkan bahawa terdapat ramai pelakon lelaki yang kurang ketinggian seperti Tom Cruise, Jackie Chan, Tony Jaa (Thailand) dan Iko Uwais serta Yayan Ruhian (Indonesia), dia mula berasa positif serta mengabaikan kutukan-kutukan itu.
“Dulu saya pernah terasa apabila melihat orang yang tinggi dan rasa down bila dikutuk, tapi sekarang tidak lagi.
“Sebab memang ramai sangat pelakon lelaki yang tidak terlalu tinggi dan mereka ini berjaya menempa dalam dunia perfileman antarabangsa. Hal itu membuktikan, tiada apa yang mustahil.
“Semua orang ada kelebihan sendiri. Mungkin orang yang mempersendakan saya itu berbuat begitu kerana mereka jealous.
“Apapun, saya selalu berpegang kepada perkara ini. Kalau orang bagi kita sampah, kita jangan ambil sampah itu. Kita bagi dia balik,” katanya yang memiliki ketinggian 170 sentimeter.
Minat berlakon yang begitu mendalam membuatkan Ameer sanggup meninggalkan kerjaya pramugara dengan sebuah syarikat penerbangan untuk menyertai pertandingan Hero Dewi Remaja 2023.
“Seperkara lagi, ibu saya sendiri pernah memberitahu saya bahawa dia rasa saya boleh pergi jauh di dalam bidang seni ini.
“Waktu saya menghadiri temuduga untuk menjadi pramugara, dia bertanya kenapa saya menghadiri temuduga itu.
“Saya tanya ibu saya, kenapa? Saya pergi temuduga itu bersama kembar saya, Amar.
Tapi, kenapa ibu saya okey dengan Amar dan tidak okey dengan saya untuk pergi temuduga itu. Ibu saya pun beritahu sebabnya.
“Sepanjang bekerja sebagai pramugara selama 6 bulan, kata-kata ibu saya itu sentiasa terngiang-ngiang di kepala saya.
“Akhirnya, saya ambil keputusan untuk menyertai pertandingan Hero Dewi Remaja 2023. Alhamdulillah tidak sangka pula usaha saya itu membuahkan hasil,” katanya lagi.
Jelas Ameer, perancangannya selepas memenangi pertandingan ini adalah untuk menyertai kelas lakonan.
“Saya nak masuk banyak kelas lakonan sebab saya mahu jadi yang terbaik dan saya mahu asah lakonan sampai betul-betul bagus sebab bila saya masuk set saya nak orang tahu, inilah juara Hero Remaja 2023.
“Saya tahu risiko menceburi bidang ini memang tinggi. Tapi, sejak dari dulu lagi saya sentiasa berpegang pada kata-kata ini.
“Kita boleh berjaya dan gagal mengejar cita-cita dan kita boleh gagal dan berjaya kejar cita-cita. Gagal sekali tidak bermakna gagal selamanya.
“Saya pilih yang kedua. Tak kisahlah saya gagal atau jatuh macam mana sekalipun, tapi saya mahu juga buat sesuatu yang saya minat. Saya akan hadapi segalanya, walau apa pun,” katanya.
Dalam pentas akhir Hero Dewi Remaja 2023 yang berlangsung baru-baru ini, Aiman Ameer dan pelajar jurusan teater, Nurel, 21 dinobat sebagai Hero dan Dewi Remaja 2023, sekali gus mengetepikan saingan 10 peserta lain yang turut berentap sama. – 1 Januari, 2024