KUALA LUMPUR – Sejak pandemik berakhir, pawagam seluruh dunia termasuklah Malaysia kembali meriah dengan kehadiran peminat filem.
Biarpun tahun ini tiada filem yang berjaya mencapai kutipan sehebat filem Mat Kilau yang meraih RM98 juta, tetapi terdapat banyak filem yang mencapai status ‘box office’ pada tahun ini.
Scoop senarai tujuh filem yang berjaya mencuri tumpuan rakyat Malaysia untuk ke pawagam pada tahun 2023.
Polis Evo 3
Menduduki carta teratas filem ‘box-office’ tempatan tahun ini adalah filem Polis Evo 3 arahan Syafiq Yusof yang diterbitkan oleh Astro Shaw.
Polis Evo 3 lakonan Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad dan Nora Danish ini berjaya mengutip sebanyak RM50.1 juta.
Malbatt: Misi Bakara
Pengarah Adrian Teh sekali lagi membuktikan bahawa dia adalah antara pengarah ‘box-office’ di Malaysia apabila filem arahannya iaitu Malbatt : Misi Bakara yang diinspirasikan dari kisah benar yang berlaku di benua Afrika telah berjaya mencapai kutipan sebanyak RM32.5 juta.
Didi & Friends The Movie
Filem animasi kegemaran kanak-kanak Malaysia, Didi & Friends ini telah berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM8.1 juta.
Filem terbitan terbitan bersama Astro Shaw, Warnakala Studios dan Digital Durian dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) ini telah diarahkan Akmal Aziz Asmawi dan Roshfaizal Ariffin.
Imaginur
Filem romantik sains fiksyen arahan Nik Amir Mustapha ini telah berjaya mengutip sebanyak RM6.03 juta. Dibintangi Beto Kusyairy dan Diana Danielle, filem ini menjadi bualan ramai kerana jalan ceritanya yang menarik serta lokasi filem ini yang cantik. Menurut Nik Amir, dia sendiri tidak menyangka filem ini akan berjaya meraih kutipan sebanyak itu.
Rahsia 2023
Filem yang dibuat semula berdasarkan filem Rahsia 1987 lakonan Noor Kumalasari dan Allahyarham Shukri Hashim ini berjaya membuat kutipan sebanyak RM6 juta. Diterbitkan Astro Shaw, filem yang dibintangi Nabila Huda, Fikry Ibrahim, Marsha Milan dan Eman Manan ini telah diarahkah anak kepada pengarah filem Rahsia 1987 iaitu Shamyl Othman.
Coast Guard Guard Malaysia: Ops Helang
Filem aksi pasukan uniform Coast Guard Malaysia: Ops Helang arahan Allahyarham Pitt Hanif ini telah meraih kutipan sebanyak RM5 juta. Filem terbitan Arie Zaharie Productions ini telah dibintangi Saharul Ridzwan, Julia Farhana, Adlin Aman Ramli dan ramai lagi. Filem ini juga merupakan filem pertama arahan Pitt Hanif sebelum dia meninggal dunia.
Abang Adik
Filem Abang Adik yang mendapat perhatian dan pujian ramai ini masih dan sedang ditayangkan di pawagam tempatan.
Sebelum itu, filem arahan Jin Ong yang dibintangi Wu Kang-ren atau Kang Ren Wu, Jack Tan dan Bront Palarae ini telah pun ditayangkan di luar negara, iaitu di Taiwan dan Hong Kong dan mendapat kutipan lebih dari RM10 juta.
Di Malaysia pula, ketika ini filem Abang Adik sudah pun mengumpul sebanyak RM3 juta dalam tempoh 12 hari tayangan. – 26 Disember, 2023