KUALA LUMPUR – Seperti ada yang sesuatu yang terbuku yang cuba diluahkan penyanyi Hael Husaini dalam lagu Diam ciptaannya bersama komposer muda yang sedang meningkat naik, Iqie Hugh.
Melewati muzik video rasmi lagu tersebut yang telah pun dilancarkan di platform YouTube pada 22 Disember lalu, Hael membawakan lagu itu dengan emosi yang tidak dapat ditahan-tahan dan kemudian melepaskan geramnya yang cukup memuncak pada korusnya:
“Diam, sudah cukup ku bertahan/Sungguh malangnya, malangnya/ Malangnya diriku percaya pada mu kau harus kekal/ Diam, sudah cukup sudah diam /Sungguh celaka, celaka /Celakanya diri ini kenali manusia seperti kamu.
Bukan hanya dalam nyanyian, namun Hael yang turut beraksi sendiri di dalam muzik videonya itu cuba menggambarkan situasi di mana dia seolah-olah seperti menanam mayat seseorang dan turut membakar sebuah piano.
Sejak dimuatnaik di saluran YouTube rasminya pada 22 Disember lalu, lagu itu telah meraih tontonan sebanyak 110, 251 dan menduduki tangga kelima di platform media sosial tersebut.
Lagu Diam juga sebelum ini pernah dijadikan lagu tema drama bersiri My Famous Ex Boyfriend yang telah ditayangkan di Astro sedikit hari lalu. Hael turut memegang watak hero di dalam drama bersiri tersebut.
Mengulas mengenai Diam, Hael berkata, lagu ini sebetulnya sangat dekat dengan persekitaran kita dan ia merupakan satu luahan kekecewaan terhadap seseorang yang mengkhianati kita.
“Orang yang berpura-pura suka terhadap kewujudan kita tetapi sedang berusaha untuk menjatuhkan kita dan ingin melihat hidup kita musnah,” katanya dengan penuh makna.
Diam adalah salah sebuah lagu yang dimuatkan dalam album sulung Hael, Antonim (PartI) yang bakal dilancarkan pada 5 Januari 2024. Selain Diam, ia turut memuatkan lima lain seperti Usia, Kejora, Please, Hero dan Sama Seperti Dulu (versi orkestra).
Kesemua 6 lagu di dalam album ini adalah ciptaan barisan komposer ternama tanah air seperti Ezra Kong, Omar K, Iqie Hugh, Hanis Rafi, Firdaus Rahmat termasuk Hael sendiri.
“Sepanjang 3 tahun kebelakangan ini, saya telah menghasilkan lebih kurang 20 buah lagu (demo) untuk album pertama ini.
“Dan, setelah berbincang dengan pihak label serta pasukan saya, hanya 10 buah lagu sahaja telah disenarai pendekkan serta beberapa buah lagu lama yang telah diberi susunan semula khas untuk album ini.
“Album sulung ini sangat penting buat karier saya kerana sudah lama saya cuba merealisasikannya, ianya impian terbesar saya dan banyak sangat cabaran serta kisah duka yang saya dan pasukan saya tempuhi,” katanya.
Hael akan melancarkan Antonim (Part 1) terlebih dahulu dan kemudian ia disusuli dengan Antonim (Part 2).
“Kedua-dua album ini saya jadikan medan untuk berkarya tetapi konsepnya berlawanan dengan apa yang sering saya hidangkan buat pendengar sebelum ini.
“Namun keseluruhan lagu masih berkonsepkan pop yang bernuansakan balada serta rock,” katanya. – 26 Disember, 2023