KUALA LUMPUR – Tahun 2023 menyaksikan Malaysia meriah dengan penganjuran pelbagai konsert sama ada melibatkan artis dari luar negara mahupun tempatan.
Ada antara artis pertama kali mengadakan konsert di Malaysia dan ada juga berjaya memecah rekod kehadiran penonton paling ramai.
Scoop menyenaraikan konsert menarik melibatkan artis antarabangsa yang berlangsung di Malaysia sepanjang 2023.
Coldplay (Music Of The Spheres World Tour)
Antara konsert paling menjadi sebutan dan mendapat perhatian ramai. Selepas 27 tahun, akhirnya kumpulan muzik terkenal dunia ini membuat konsert sulung mereka di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 22 November 2023. Konsert itu dihadiri lebih 75,000 penonton, sekali gus memecah rekod kehadiran penonton paling ramai yang dipegang oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza selama 19 tahun.
Blackpink (Born Pink World Tour)
Kumpulan muzik terkemuka dari Korea Selatan ini telah menghiburkan peminat mereka di Malaysia dalam konsert jelajah yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4 Mac lalu dan dihadiri lebih 62,000 penonton.
Muse (Will Of The People)
Kumpulan pop alternatif dari Amerika Syarikat ini menghiburkan peminat mereka di Malaysia buat kali kedua selepas 15 tahun menerusi konsert Will Of The People yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 29 Julai.
AR Rahman (Live In Malaysia)
Penyanyi hebat dari India ini telah menghiburkan puluhan ribu peminatnya di Malaysia pada konsert AR Rahman Live In Malaysia yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit pada 28 Januari. Turut membuat persembahan di konsert tersebut ialah penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menyampaikan lagu Tamil berjudul Munbe Vaa.
Jay Chou (Carnival World Tour)
Selepas tertangguh akibat pandemik Covid-19, penyanyi terkenal Taiwan, Jay Chou akhirnya mengadakan konsert di Malaysia pada 15 Januari lalu di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Westlife (The Wild Dreams Tour)
Kumpulan yang berasal dari United Kingdom ini kembali ke Malaysia untuk menghiburkan peminat mereka dalam konsert jelajah dunia The Wild Dreams yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 23 dan 24 Februari lalu.
One Republic (Live In Concert)
Kumpulan yang popular dengan lagu Secret dan Apologise ini melangsungkan konsert mereka di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 1 Mac.
Simple Plan (Live In KL)
Kumpulan pop-punk popular dari Kanada ini singgah di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Mac sempena konsert jelajah Asia Tenggara.
Ne-Yo (Live In Malaysia)
Penyanyi R&B ini kembali ke Kuala Lumpur untuk mengadakan konsert solonya yang berlangsung di Dewan Plenary KLCC pada 21 Januari yang lalu.
Blue (Heart And Soul Tour)
Kumpulan muzik yang popular dengan lagu All Rise ini kembali ke Malaysia untuk mengadakan konsert mereka pada 10 Februari lalu bertempat di Dewan Plenary KLCC.
Alan Walker (Walkerverse Final)
Pemuzik EDM dan DJ terkenal dari Norway ini menjadikan Malaysia sebagai lokasi penutup konsert jelajah dunianya Walkerverse pada 17 September lalu bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Dimash Qudaibergen (Live In Malaysia)
Penyanyi bersuara tinggi yang berasal dari Kazakhstan ini telah melangsungkan konsert solonya pada 24 Jun lalu bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Bunga Citra Lestari (BCL Blossom Intimate Concert)
Buat pertama kalinya penyanyi dari Indonesia, Bunga Citra Lestari mengadakan konsert solonya di Malaysia pada tanggal 27 Januari lalu yang bertempat di Dewan Plenary KLCC.
Melly Goeslaw (Ada Apa Dengan Melly? Live In KL)
Sama seperti Bunga, penyanyi dan komposer terkenal dari Indonesia, Melly Goeslaw turut mengadakan konsert sulungnya di Malaysia pada 3 dan 4 Februari lalu. Menariknya penonton yang hadir memakai pakaian mengikut tema iaitu ‘Back to School’.
Judika (Rockmantic Night Judika And The Gang)
Nampaknya tahun 2023 menyaksikan ramai penyanyi Indonesia yang pertama kali mengadakan konsert solo di Malaysia. Tidak terkecuali penyanyi bersuara serak basah, Judika. Judika melangsungkan konsert solonya pada 21 Oktober di Axiata Arena.
Dewa 19 (A Night At The Orchestra Chapter 5)
Kumpulan muzik terkenal Indonesia ini kembali mengadakan konsert di Malaysia pada 29 September lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil. Kali ini konsert mereka diiringi oleh kumpulan pemuzik orkestra dari Malaysia.
Noah (Menemaniku Kuala Lumpur)
Gara-gara peminat tidak puas hati lokasi konsert yang dianjurkan pada tahun 2022 terlalu kecil, kumpulan muzik dari Indonesia, Noah kembali mengadakan konsert berskala besar di Malaysia pada tanggal 11 November lalu bertempat di Mega Star Arena Kuala Lumpur. – 25 Disember 2023