KUALA LUMPUR – Tahun 2023 menyaksikan ramai selebriti yang mendirikan rumah tangga dengan pasangan masing-masing. Ada yang kali pertama ada juga kali kedua.
Tidak kurang juga dengan perkahwinan yang menjadi kontroversi. Scoop senaraikan selebriti tanah air yang berkahwin tahun ini.
Syamsul Yusof & Ira Kazar
Perkahwinan yang bikin kecoh satu Malaysia. Mana tidaknya Syamsul menikahi Ira di Thailand pada 6 Januari ketika dia masih menjadi suami Puteri Sarah Liyana.
Janna Nick & Dini Schatzmann
Pasangan sama cantik sama padan ini telah selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri pada 10 Jun di sebuah majlis yang berlangsung di Pulau Langkawi. Perkahwinan mereka turut terpalit dengan kontroversi apabila dikatakan tidak menghormati Ustaz Wadi Annuar yang dijemput untuk membaca doa di majlis berkenaan.
Fadlan Hazim & Aiya Mukhamedsalova
Pelakon kacak ini mendirikan rumah tangga dengan pasangannya yang berasal dari Kazakhstan, iaitu Aiya Mukhamedsalova pada 16 Julai lalu di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Namun keluarga isterinya tidak dapat hadir untuk menyaksikan hari bahagia mereka
Shila Amzah & Ubai
Penyanyi popular, Shila Amzah menamatkan zaman jandanya bersama pempengaruh media sosial, Ubai pada 4 Ogos lalu. Biarpun jarak usia mereka jauh iaitu lapan tahun, namun cinta mereka tetap utuh.
Aiman Tino & Syarah Haifa
Penyanyi popular kegilaan remaja ini telah menamatkan zaman bujangnya bersama pilihan hati, Syarah Haifa pada tanggal 27 April lalu. Ramai peminat wanita yang kecewa selepas artis pujaan mereka kini menjadi milik orang.
MK K-Clique & Siti Hajaar
Penyanyi dan pelakon kacak MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan telah mematahkan hati ramai gadis apabila mengakhiri zaman bujangnya bersama Siti Hajaar pada 16 Jun lalu.
Nad Zainal & Ungku Ismail
Pelakon popular, Nad Zainal telah selamat melangsungkan pernikahannya bersama aktor, Ungku Ismail pada 23 Januari 2023. Ini merupakan perkahwinan kedua buat Nad dan yang pertama buat Ungku Ismail. Pada tahun ini juga pasangan ini dikurniakan bayi lelaki yang dilahirkan pada 10 Oktober lalu.
Shuib & Watie
Antara perkahwinan selebriti yang menjadi tumpuan tahun ini apabila Shuib menamatkan zaman dudanya bersama pilihan hati, Watie pada 23 Jun lalu. Ramai peminat arwah Siti Sarah merasakan terlalu cepat untuk Shuib mencari pengganti. Namun jodoh pertemuan yang ditentukan tuhan tiada siapa yang mampu menafikannya.
Fizi Ali & Siti Zulaikha
Seorang lagi duda terhangat telah menamatkan zaman dudanya bersama pilihan hati yang merupakan seorang ibu tunggal yang dikenali sebagai Siti Zulaikha pada 23 Oktober lalu. Tiada majlis besar-besaran dilakukan, Fizi sekadar mengumumkan berita pernikahannya di Instagram.
Tom & Fuad Rahman
Mula menyulam cinta sewaktu menyertai Gegar Vaganza musim kesembilan tahun lalu, siapa sangka kenalan lama ini akhirnya memilih untuk menjadi pasangan suami isteri pada 26 Februari lalu dalam majlis yang diadakan di Batam. Kini Tom sedang hamil anak pertama mereka.
Rashidi Ishak & Wan Hasliza
Pelakon drama Kampung People ini menamatkan zaman dudanya bersama pengarah drama Kampung People, iaitu Wan Hasliza pada 2 Februari 2023. Rashidi sebelum ini pernah berkahwin dengan aktres, Vanida Imran, namun bercerai pada 2018.
Imran Aqil & Dahlia Rizal
Penyampai radio Hot FM ini memilih untuk menamatkan zaman bujangnya bersama pempengaruh, Dahlia Rizal pada 10 September 2023. Pasangan ini tular kerana memilih untuk berkahwin di usia muda. Mereka juga mengadakan lima majlis resepsi yang turut dihadiri oleh Datin Seri Rosmah Mansur.
Mizz Nina & Essam Muhammad
Bekas penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Mizz Nina selamat mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama jejaka yang berasal dari Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Essam Muhammad pada Jun lalu. Majlis resepsi pasangan ini telah berlangsung pada Sepetember lalu di Kuala Lumpur.
Noh Salleh & Fain Athira Mustapa
Seperti bekas isterinya Mizz Nina, vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh juga telah menamatkan zaman dudanya pada tahun ini dengan wanita yang dikenali sebagai Fain Athira Mustapa. Pasangan ini telah berkahwin pada 23 September yang lalu.
Cat Farish & Shikin Maembong
Pasangan ini telah sah menjadi suami isteri pada tanggal 13 Julai yang lalu. Perkahwinan ini merupakan perkahwinan yang ketiga buat masing-masing. Shikin sebelum ini pernah berkahwin dengan anak kepada Datuk Chef Wan, iaitu Chef Riz pada 2014 sebelum bercerai pada 2016.
Nabila Razali & Nik Iruwan Nik Izani
Penyanyi dan pelakon popular ini telah menamatkan zaman bujangnya bersama jejaka yang dikenali sebagai Nik Iruwan Nik Izani pada 18 November lalu dalam sebuah majlis yang diadakan di pusat peranginan di Bukit Tinggi.
Hafidz Roshdi & Athira Yuhada
Pelakon kontroversi ini telah mengejutkan ramai apabila memilih untuk menamatkan zaman duda bersama cinta hati pertamanya, iaitu wanita yang dikenali sebagai Athira Yuhada 15 Disember lalu. Terdahulu Hafidz telah sah bercerai talak satu dengan bekas isterinya iaitu Shuhada pada Februari lalu.
Syafie Naswip & Afiqah Ishak
Pelakon filem Mukhsin ini telah selamat diijabkabulkan dengan pilihan hatinya, iaitu aktres Afiqah Ishak dalam majlis yang berlangsung di Putrajaya pada 23 Disember 2023. – 23 Disember 2023