‘Saya harap lebih ramai berani ke depan, lantang bersuara demi menjaga etika dan kualiti muzik negara’: Kmy Kmo

Kenyataan itu dikeluarkan berhubung tindakannya dan Luca Sickta menarik diri daripada mempertandingkan lagu Budi di pentas SFMM38, Ahad lalu

7:29 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer, Kmy Kmo menegaskan dia adalah karyawan muzik yang sangat menjaga hak cipta setiap karya lagu-lagunya daripada diambil oleh pihak yang tidak berkenaan sewenang-wenangnya.

Kmy Kmo atau nama sebenarnya, Lukmanul Hakim berkata, setiap lagu di Youtube atau di semua aplikasi muzik atau platform digital lain mempunyai digital royalti yang memang jadi hak milik penuh pencipta lagu, penulis lirik, dan komposer lagu.

“Setiap lagu mempunyai kontrak hitam putih antara pencipta dengan unit pengurusan royalti seperti badan pelesenan Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP), syarikat rakaman mahu pun persendirian.

“Royalti ni ibarat KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) atau Perkeso untuk penulis lirik dan komposer, sebab duit ini sentiasa mengalir hingga tamat hayat si pemilik lagu dan ia akan berpindah ke waris (isteri, anak-anak, ibu ayah) yang didaftarkan.

Kmy Kmo (kiri) dan Luka Sickta. – Gambar Instagram Kmy Kmo, 21 Disember, 2023

“Sebab itu saya sangat menjaga hak cipta lagu saya dari diambil orang lain yang tidak berkenaan. Saya bukan orang yang hanya mampu mengangguk demi populis sedangkan ada perkara yang tidak betul yang sepatutnya disuarakan bersama-sama,” katanya dalam satu kenyataan di akaun Instagram miliknya, hari ini.

Ia susulan langkah yang diambil oleh Kmy Kmo dan Luca Sickta yang menarik diri daripada mempertandingkan lagu Budi di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 38 (SFMM38) pada Ahad lalu.

Lagu Budi adalah ciptaan dan nyanyian duo rapper ini yang turut menampilkan Sufian Suhaimi sebagai penyanyi undangan.

Keputusan untuk menarik diri itu dibuat selepas mereka mendapati ada terma dan syarat pertandingan yang tidak adil serta tidak berpihak kepada pencipta dan penulis lagu.

“Saya berharap pada masa akan datang lebih ramai yang berani ke depan dan lantang bersuara demi menjaga etika dan kualiti muzik negara ke arah yang lebih bersih dan profesional.

“Saya yakin rakyat tahu virus korupsi di negara kita ini sudah merebak ke setiap pintu industri atau perniagaan. Semoga industri muzik negara terus sihat dan fokus pada visi dan misi asal untuk kekal disayangi ramai.

“Saya juga berharap ilmu yang dikongsi ini dapat disimpan agar semua penggemar muzik negara lebih faham dari mana pengkarya lagu terima pendapatan mereka.

“Untuk siapkan satu lagu dengan video sahaja sudah makan puluhan ribu ringgit, masa diluangkan berbulan, tenaga dihempas hingga otak mengering demi menjaga kualiti terperinci setiap sudut. Penat pun tetap jalan,” kata Kmy Kmo. – 21 Disember, 2023

Topics

 

Popular

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Related