30 filem tembusi pasaran antarabangsa, Fahmi anggap 2023 tahun cemerlang, kebangkitan pembikin filem muda

Di peringkat pasaran domestik, kutipan pecah panggung filem tempatan hingga kini sebanyak RM98.8 juta untuk tayangan 56 buah filem

5:43 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyifatkan 2023 sebagai tahun cemerlang buat industri perfileman tanah air apabila 30 filem tempatan berjaya menembusi festival-festival filem antarabangsa dan meraih pelbagai kejayaan.

Menurut Fahmi, kejayaan yang diraih itu bukanlah dari sudut filem dihasilkan pengarah filem berpengalaman sahaja tetapi turut menyaksikan kebangkitan karya pembikin filem muda seperti Tiger Stripes arahan Amanda Nell Eu; Abang Adik (Jin Ong); Hungry Ghost Diner (We Jun Cho); Oasis of Now (Darrel Chia Chee Sum) serta Walid (Areel Abu Bakar).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika meraikan 26 penggiat industri filem dan bakat kreatif yang mencatatkan kejayaan di peringkat tempatan dan antarabangsa pada Program Spotlight: Apresiasi Sinema Malaysia Tahun 2023 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa (tiga dari kiri), Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib (lima dari kanan). – Gambar Alif Omar/Scoop, 20 Disember, 2023

“Tiger Stripes mencipta sejarah menjadi filem Malaysia pertama memenangi hadiah utama Minggu Kritik Antarabangsa Cannes ke-62 manakala Walid pula membuktikan cerita aksi yang mengangkat seni persilatan Melayu mampu menarik perhatian pengedar bagi tayangan di pawagam Amerika Syarikat.

“Di peringkat pasaran domestik, kutipan pecah panggung filem tempatan hingga kini ialah sebanyak RM98.8 juta untuk tayangan 56 buah filem.

“Daripada jumlah tersebut, ia telah disumbangkan oleh pencapaian kutipan enam buah filem arahan pembikin muda iaitu Coast Guard arahan Allahyarham Pitt Haniff; Imaginur (Nik Amir Mustapha); filem animasi Didi & Friends (Akmal Aziz Asmawi dan Roshfaizal Ariffin); Polis Evo 3 (Syafiq Yusof); Rahsia (Shamyl Othman) dan Malbat: Misi Bakara (Adrian Teh).

“Kejayaan yang dicapai ini merupakan satu titik dalam lembaran sejarah seni perfileman yang mungkin boleh dilihat atau dianggap sebagai ‘new wave’ atau gelombang baharu dalam sinema Malaysia,” katanya pada Spotlight: Apresiasi Sinema Malaysia Tahun 2023 di sini hari ini.

Sehubungan itu Fahmi berharap, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang kekal berada di bawah portfolionya akan memberikan penekanan terhadap empat aspek iaitu penulisan skrip, pitching, pemasaran dan pengedaran bagi memastikan filem-filem Malaysia dihasilkan dengan penuh kualiti dan akan terus mencipta kejayaan di dalam dan luar negara.

“Saya juga lihat ada keperluan bagi FINAS untuk membawa filem-filem Malaysia ke luar melalui pasaran filem sama ada di rantau Asia Tenggara mahupun jauh daripada itu.

“Salah satu cabaran yang dihadapi oleh produser adalah mengumpul dana untuk membawa filem ke luar. FINAS sebelum ini pernah menyatakan kesediaan untuk membawa filem ke luar. Saya rasa ini adalah langkah yang positif,” katanya.

Fahmi turut menegur beberapa sikap karyawan filem yang dilihat hanya terlalu bergantung harap dengan Dana Kandungan Digital (DKD) yang diterima untuk menghasilkan filem.

“DKD adalah dana sebagai penggalak dan pihak produksi atau penerbit perlu berusaha ungtuk mendapatkan dana tambahan. Bukan guna jumlah itu untuk buat filem. Penerbit seharusnya melihat aspek pelaburan dan pulangan ketika menghasilkan filem termasuk isu pemasaran.

“Satu lagi cabaran yang dihadapi untuk filem-filem yang disiapkan menggunakan DKD adalah bergantung harap dengan skim wajib tayang.

“Saya kira, sikap ini perlu dilihat semula. Kalau dirancang dan direncana dengan baik, filem-filem yang telah siap ini dipasarkan jauh lebih awal daripada jadual wajib tayang dan diatur rencana pemasarannya dengan baik, maka hasil kutipan pun akan jadi lebih baik,” katanya.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bersama penerima penghargaan pencapaian khas Datuk Fauziah Nawi (dua, kiri) semasa Program Spotlight: Apresiasi Sinema Malaysia 2023 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Kementerian Komunikasi hari ini. – Gambar Alif Omar/Scoop, 20 Disember, 2023

Mengenai perancangan FINAS sebelum ini yang pernah mewujudkan kempen Road to Oscars, Fahmi berkata, beliau tidak hanya berusaha untuk menghantar filem Malaysia ke Oscars semata-mata tetapi aspek-aspek yang lain perlu ditingkatkan sama.

“Bagus kita dapat hantar filem ke Oscars, tapi manfaat paling besar adalah rakyat Malaysia dapat pekerjaan melalui syarikat-syarikat penggambaran dari luar yang melakukan penggambaran di negara ini.

“Ia boleh datangkan tempias ekonomi yang baik. Bagi saya keutamaan kita adalah meningkatkan ekonomi negara melalui industri kreatif.

“Kedua dari segi penghasilan kualiti kita boleh anggap apa sayasebutkan empat perkara itu menjangkaui apa yang  diperlukan.

“Setakat ini, kita belum ada keputusan dasar mengenai Road to Oscars. Berikan kami sedikit masa lagi. Sebab, saya masih tunggu laporan untuk buat keputusan. Pihak FINAS akan susuli nanti sama ada Road to Oscars ini akan kita teruskan, kita  tambah baik atau kita berganjak ke landasan berbeza,” katanya. – 20 September, 2023

Topics

 

Popular

No call with Trump? PM Anwar has better things to do: Nazri

Former envoy slams US obsession, says Malaysia shouldn’t grovel and should prioritise China, Russia, India, and Türkiye

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Budget 2025: Malaysia’s economy to grow 4.5-5.5% next year, MoF announces

Ministry says economy is boosted by the services sector, strong private sector expenditure and stable global trade

Related