KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez menyifatkan kehilangan tiga insan seni negara iaitu Ibnor Riza, Lewis Pragasam dan Datuk M Daud Kilau dalam waktu terdekat sangat mengejutkan.
Menurut Freddie, ketiga-tiga insan seni itu sememangnya mempunyai jasa yang amat besar buat industri seni negara.
“Lagu-lagu malar segar mereka telah menghiburkan kita selama berdekad-dekad.
“Mereka ini semua adalah ahli aktif persatuan yang sering turun ke aktiviti persatuan sepanjang hayat mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak Karyawan turut membantu dengan pelbagai cara yang termampu apabila mereka mengalamai keuzuran.
“Terima kasih Ibnor, Lewis dan Datuk M Daud Kilau,” katanya.
Terdahulu Ibnor Riza disahkan meninggal dunia semalam akibat kanser limfoma manakala Lewis pula menghembuskan nafas terakhir jam 3 pagi tadi akibat serangan jantung.
M Duad Kilau pula meninggal dunia petang tadi akibat komplikasi pelbagai penyakit. – 18 Disember, 2023