KUALA LUMPUR – Penyanyi veteran bergelar Raja Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau meninggal dunia pada usia 85 tahun di Hospital Teluk Intan, Perak, jam 4.40 petang tadi.
Perkara itu disahkan anaknya, Ahmad Zaini dan Allahyarham dimasukkan ke hospital pada 12 Disember lalu.
Allahyarham pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan selepas disahkan menghidap kencing manis, sakit pingang dan jantung tidak stabil.
Memetik laporan media, Ahmad Zaini memaklumkan, bapanya menghidap penyakit diabetes, darah tinggi dan jantung.
“Dia dimasukkan ke hospital baru-baru ini sebab kesihatannya tak stabil.
“Sejak tiga hari lalu keadaannya semakin teruk. Masalah kencing manis juga semakin merebak,” katanya.
Katanya, doktor sepatutnya mahu melakukan pembedahan memotong kedua-dua kaki bapanya pada hari ini, namun tidak dapat dilakukan kerana tekanan darah tidak stabil.
“Ini kali ketiga pembedahan ditangguhkan sebab masalah yang sama,” katanya.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Balai Baroh, Bagan Datuk, Perak selepas solat zuhur, esok. – 18 Disember, 2023