KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Ernie Zakri bakal menyanyikan sendiri lagu Astana pada saringan kedua Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM 38) yang akan berlangsung petang ini.
Ernie berkata, dia lega apabila dapat menyanyikan lagu ciptaannya itu sendiri dalam program berbentuk pertandingan tersebut.
“Seperti yang diperkatakan sebelum ini, saya selaku penyanyi asal dan komposer lagu ini sudah tentu mahu menyanyikan lagu ini. Mana mungkin tidak. Malah, tidak pernah sekali saya berkata atau mengeluarkan kenyataan tidak mahu dan tarik diri.
“Jadi selepas melalui proses perbincangan yang panjang antara semua pihak dan pihak Universal Music Malaysia pun tidak pernah menghalang saya untuk menyanyikan lagu ini, saya dengan penuh gembira akan menggalas sendiri tanggungjawab untuk mempersembahkan lagu Astana.
“Terima kasih sekali lagi kepada pihak Universal Music Malaysia yang sentiasa memahami dan percaya akan bakat saya. Kepada peminat dan semua pihak yang sentiasa ambil berat, saya hargai sokongan anda,” katanya.
Sementara itu, syarikat rakaman Universal Music Malaysia yang mewakili Ernie berkata, perkara itu diputuskan selepas pihak Rocketfeul Entertainment menghubungi mereka, semalam.
“Rocketfuel ada menghubungi kami untuk berbincang perkara ini. Selepas mengambil kira banyak perkara selain tidak mahu membiarkan isu ini berlanjutan, jadi Universal Music Malaysia bersetuju dan membenarkan Ernie selaku penyanyi asal dan komposer lagu Astana untuk membuat persembahan.
“Berhubung terma perbincangan yang belum selesai antara pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Persatuan Penerbit Malaysia (MPA) dengan Media Prima Berhad, pihak RIM menyerahkan perkara ini kepada kami di Universal Music Malaysia untuk membuat keputusan.
“Ditambah lagu ini sudah pun dicalonkan sejak Februari. Pada masa sama, kami tidak mahu isu ini terus berpanjangan dan diperdebatkan. Diharap pihak terbabit segera mencari solusi terbaik,” kata pihak syarikat rakaman tersebut.
Ernie sebelum ini adalah artis naungan Rocketfuel Entertainment tetapi telah berpindah ke syarikat rakaman baharu iaitu Universal Music Malaysia pada Julai lalu.
Sebelum ini Ernie dikatakan telah menarik diri daripada menyanyikan lagu Astana yang juga ciptaannya bersama Omar K, Syamel dan Syazriq Azeman.
Hal itu menyebabkan pihak Rocketfuel Entertainment terpaksa menggantikan tempatnya dengan penyanyi Nadeera.
Namun, Ernie dalam satu kenyataan telah menafikan dakwaan tersebut.
Sementara itu, RIM dan MPA kini dalam rundingan dengan Media Prima mengenai terma dan syarat pencalonan lagu dalam program carta lagu mingguan yang disiarkan di TV3 itu. – 16 Disember, 2023