SHAH ALAM — Biarpun sedang berhadapan dengan masalah kesihatan, namun penyanyi popular, Aina Abdul tetap memberikan persembahan terbaik ketika beraksi pada saringan hari pertama Separuh Akhir Muzik-Muzik 38 (SFMM38).
Menurut Aina atau nama lengkapnya Nurul Aina Abdul Ghani, 30, kesihatannya mulai merosot selepas menjayakan konsert mega A Night With Aina Abdul 3.0 pada 18 November lalu.
Bagaimanapun kata Aina, dia telah menemui doktor bagi mendapatkan pemeriksaan.
“Saya memang kurang sihat sedikit hari ini, sebab selalunya kalau selesai kerja besar macam konsert, saya memang akan rasa tak sedap badan dan jatuh sakit.
“Selepas konsert saya hari itu, saya belum ada rehat yang panjang. Memang boleh kerja, tetapi badan perlu rehat.
“Tetapi saya sudah berjumpa dengan doktor untuk periksa kesihatan selain buat juga aktiviti senaman. Saya ikut nasihat doktor apa yang boleh buat, apa yang tidak boleh.
“Termasuk makanan, apa yang disuruh makan saya ambil. Kalau tidak disuruh saya tak ambil. Alhamdulillah saya boleh menyanyi tadi.
“Saya bukan demam tetapi ada masalah dengan sistem penghadaman, tidak boleh makan makanan pejal, hanya makanan bentuk cecair sahaja,” katanya ketika ditemui sewaktu sidang media.
Aina turut meluahkan rasa syukur apabila lagu ‘Jangan Mati Rasa Itu’ diumumkan sebagai lagu terbaik dan lagu Pilihan Alha Alfa pada saringan hari pertama.
“Saya sangat bersyukur hari ini dan tidak sangka menang lagu terbaik dan lagu pilihan Alha Alfa. Saya datang hari ini hanya ingin menyanyi dan menghiburkan peminat saya.
“Apabila diberi penghargaan daripada juri dan peminat, sangat terharu dan dalam masa sama rasa sebak.
“Lagu-lagu yang bertanding pada hari pertama ini juga sangat hebat, ada yang lagu saya minat dan penyanyi yang suka.
“Dengan semangat itu, membuatkan saya ingin lakukan yang terbaik. Saya anggap ini juga rezeki untuk peminat saya,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai saingan terdekatnya, Aina berkata lagu Waktu nyanyian Ziana Zain dan Hasif Upin adalah pesaingnya.
“Sejujurnya saya sangat suka lagu Waktu nyanyian kak Ziana dan Hasif Upin. Bukan hanya sebab lagu, tetapi sebab saya sendiri obses dengan kak Ziana.
“Saya sayang kak Ziana, dia juga sering memberi sokongan pada kerjaya seni saya. Dia juga anggap saya seperti adik,” katanya. — 15 Disember, 2023
Foto : Instagram