KUALA LUMPUR – Penyanyi kelahiran Indonesia, Raisa mempunyai sebab mengapa dia memilih pelakon dan model Malaysia, Meerqeen untuk menjayakan pembikinan muzik video single terbaharunya, Tak Berharap Lagi.
Menurut Raisa, pemilihan itu dibuat kerana dia mahu mencetuskan suatu kelainan di dalam muzik videonya itu.
“Sebetulnya saya pernah bertemu dengan Meerqeen di acara untuk sebuah jenama di Jepun. Kami sempat berbual-bual santai sepanjang acara dan selepas pulang dari Jepun, saya fikir siapa yang bakal menjayakan muzik video lagu terbaru ini.
“Saya pernah bekerjasama dengan ramai artis di Indonesia dan banyak nama yang sudah penuhinya dan bagi mencetuskan kelainan, saya mengambil keputusan untuk mengundang Meerqeen pula.
“Saya menghantar mesej kepada dia secara peribadi dan dari situ, disusuli perbincangan lanjut antara pengurusan saya dan Meerqeen. Boleh dikatakan semuanya berlaku dengan pantas dan Meerqeen perlu terbang ke Bali untuk penggambaran. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan penggambaran juga cepat dilakukan. Dalam separuh hari semuanya selesai,” katanya.
Tak Berharap Lagi merupakan single baharu Raisa hasil kolaborasi pertamanya dengan penyanyi dan komposer berbakat besar, Andmesh Kamaleng.
Katanya, sebelum ini Andmesh pernah beberapa kali mahu memberikan lagu kepadanya namun keadaan belum mengizinkan untuk menjalin kerjasama.
“Sebelum lahirnya kolaborasi Tak Berharap Lagi ini, kami kerap bertemu. Ia bagaikan petanda untuk kami bekerjasama dan apabila saya suarakan kepada Andmesh yang saya sedang mencari lagu, dia terus WhatsApp saya lagu ini.
“Kali pertama mendengar lagu Tak Berharap Lagi, saya sudah tahu apa yang saya boleh lakukan untuk karya ini. Lagu ini seakan-akan membawa peminat mengimbau era lagu-lagu galau Raisa, tetapi dinyanyikan dengan cara sekarang,” katanya.
Sejak Raisa berkongsi potongan lagu itu di media sosialnya beberapa minggu lalu, ia membangkitkan keterujaan peminat untuk ‘turut bersama dalam projek berkenaan’.
Malah petikan lagu Tak Berharap Lagi digunakan ramai peminat untuk membuat pelbagai video di media sosial yang secara tidak langsung menghangatkan lagi bahang kemunculan single tersebut.
Raisa berkata, dia yakin lagu itu akan menjadi sebuah lagi lagu pop klasik galau Indonesia pilihan ramai, apatah lagi jalan ceritanya juga dekat dengan pengalaman yang pernah dilalui ramai orang.
Mengulas tentang harapannya pada 2024, Raisa berkata, dia berharap tahun hadapan akan menjadikan dunia lebih positif dan menggunakan platform media yang ada untuk menyebarkan hal-hal yang baik.
“Saya juga mahu terus berkarya dan sedang merancang sesuatu untuk peminat di Malaysia, tahun depan. Nantikan pengumumannya, insya-Allah,” katanya.
Sementara itu Andmesh berkata, ketika lagu itu ditulis, fikirannya langsung membayangkan Raisa sebagai penyanyi yang serasi untuk membawakan karya tersebut.
“Tak Berharap Lagi mewakili perasaan mereka yang pernah mengagung dan memuja cinta, tetapi akhirnya perlahan-lahan ia hilang meskipun menyangka sudah bertemu dengan orang yang menurut mereka tepat.
“Seiring perjalanan waktu, tambatan hatinya itu menjadi sumber rasa sakit dan membuatkan dia tidak berani berharap lagi. Karakter suara Raisa sangat cocok untuk lagu ini. Tanpa ragu, saya terus mengirimkan lagu ini kepada Raisa,” ungkapnya.
Tak berharap Lagi yang diterbitkan Juni Records mula dilancarkan secara rasmi hari ini di semua platform penstriminan muzik manakala video liriknya pula boleh ditonton ramai di saluran YouTube: raisa6690. – 15 Disember, 2023