Pernah depresi, Nana Sheme selit kisah perjuangan hidup sendiri dalam lagu Aku Mencoba

Nana Sheme dedah trauma zaman kanak-kanaknya dalam single baharu, Lagu Aku Mencoba dicipta Nana bersama suaminya, Zikri Zakaria

4:59 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Hantu Atau Buaya, Nana Sheme mengakui dia masih dibayangi lagu tersebut sehingga saat ini.

Menurut Nana atau nama sebenarnya Nur Nabilah Hashimi, 28, ke mana sahaja dia pergi, pasti peminat akan memintanya menyanyi lagu itu, biarpun sudah lapan tahun ia dilancarkan.

“Lagu itu memang sudah sebati dengan karier saya. Lagu itu yang menaikkan nama saya dalam industri muzik.

“Cuma untuk lagu terbaharu saya yang berjudul Aku Mencoba ini, saya cuba genre berlainan yang belum pernah diperdengarkan kepada peminat sebelum ini.

“Lagu ini sesuai untuk dijadikan halwa telinga buat mereka yang ingin ‘healing’,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran lagu terbarunya.

Bercerita mengenai lagu terbarunya, kata penyanyi kelahiran Sarawak itu, lagu dan lirik Aku Mencoba ditulis olehnya bersama suami, Zikri Zakaria.

“Lagu ini diilhamkan dari realiti yang dilalui setiap insan termasuklah saya sendiri yang menjalani pelbagai rintangan dalam kehidupan, namun memilih untuk terus berjuang dan tidak putus asa.

“Saya pernah mengalami kemurungan dan kebimbangan melampau akibat trauma ketika zaman kanak-kanak.

“Saya dilahirkan dalam keluarga berpecah belah dan kehilangan ibu ketika berusia 15 tahun,” kongsinya yang kali terakhir mengeluarkan ‘single’ empat tahun lalu menerusi lagu Ragu-Ragu.

Tambah Nana lagi, dia sudah berhenti mengambil ubat depresi sejak empat tahun lalu dan kini lebih tenang sejak berkahwin dengan suaminya tahun lalu.

Kali terakhir dilihat menyertai pertandingan Big Stage musim ketiga pada 2020, nama Nana terus sepi selepas itu.

Ditanya kenapa kehadirannya di industri muzik Malaysia seakan tenggelam timbul, kata Nana, sebagai penyanyi yang terikat dengan syarikat rakaman, dia hanya mengikut perancangan ditetapkan untuknya.

“Mungkin ada yang menganggap saya sebagai penyanyi ‘one hit wonder’. Tetapi sebenarnya selepas saya rakam lagu Hantu Atau Buaya, saya ada rakam lima lagi lagu.

“Cuma, ada lagu yang tak sempat keluar kerana kontrak bersama syarikat rakaman terdahulu telahpun tamat,” katanya.

Lagu Aku Mencoba kini boleh didengar di semua platform penstriman muzik digital sejak 1 Disember 2023.

Manakala muzik video rasmi boleh mula ditonton esok bermula jam 9 malam di saluran YouTube Xeno Entertainment. – 14 Disember, 2023

Topics

 

Popular

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Related