KUALA LUMPUR – Syarikat rakaman Rocketfuel Entertainment menyifatkan Nadeera adalah calon yang tepat untuk menggantikan Ernie Zakri bagi membawakan lagu Astana dalam Muzik Muzik Separuh Akhir 38 (SFMM 38).
Ia juga bagi memastikan lagu Astana yang merupakan nyanyian asal Ernie dan ciptaannya bersama Omar K, Syamel serta Syazriq Azeman itu dapat dibawakan dengan sebaiknya.
Pada masa sama, Rocketfuel Entertainment berkata, pihaknya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pengurusan Ernie untuk tidak terlibat dalam menyanyikan lagu ini di pentas SFMM38.
“Bagi menghormati acara berprestij seperti SFMM38, Rocketfuel Entertainment telah berusaha mencari pengganti yang sesuai untuk menyanyikan Astana dan Nadeera yang juga juara program Big Stage terbaharu tahun ini telah dipilih setelah pelbagai perbincangan dilakukan bagi meneruskan pertandingan ini,” kata syarikat rakaman ini dalam satu kenyataan media.
Bagaimanapun, Rocketfuel Entertainment berkata, mereka sentiasa bersedia dan bersifat terbuka untuk bertemu serta berbincang dengan mana-mana pihak yang sudi untuk bersama-sama membawa hasil karya mereka di pentas SFMM38.
“Untuk rekod, dua artis lain iaitu Amira Othman dan Syamel yang tidak lagi berada di bawah naungan Rocketfuel Entertainment telah bersetuju untuk membawa lagu nyanyian mereka di pentas akhir Muzik Muzik itu” katanya.
Justeru, Rocketfuel Entertainment berterima kasih dan menghormati sedalam-dalamnya harapan dan juga sokongan setiap peminat yang telah berusaha keras dalam memastikan lagu Astana mara ke SFMM38.

“Pencalonan lagu Astana untuk program Muzik Muzik diadakan pada Februari lalu ketika penyanyi asal masih bernaung di bawah Rocketfuel Entertainment.
“Sekali lagi, pihak Rocketfuel Entertainment sangat berterima kasih dan menghargai segala usaha peminat lagu Astana yang tidak henti-henti menyokong sejak terlancarnya lagu ini lantas berjaya dan layak ke pentas SFMM38,” tambah mereka.
SFMM38 yang dihoskan Izzue Islam dan Fiza Frizzy, bakal bersiaran secara langsung selama tiga hari berturut-turut dari 15 hingga 17 Disember ini di Studio 1, Glenmarie, Shah Alam, bermula 3 petang.
Sebelum ini, Ernie dikatakan telah menarik diri daripada menyanyikan lagu Astana yang juga karya ciptaannya, namun penyanyi berkenaan menafikannya.
“Saya adalah penyanyi asal dan komposer lagu ini. Sudah tentu saya nak menyanyikan lagu ini. Malah, tidak pernah cakap saya tak nak nyanyi atau tarik diri.
“Namun, disebabkan terdapat beberapa terma perbincangan yang belum selesai antara Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Persatuan Penerbit Malaysia (MPA), ia menjadi penghalang untuk saya mempersembahkan lagu ini pada separuh akhir Muzik Muzik 38,” jelasnya.
Ernie sebelum ini adalah artis naungan Rocketfuel Entertainment tetapi telah berpindah ke syarikat rakaman baharu iaitu Universal Music Malaysia pada Julai lalu. – 14 Disember, 2023