Konsert akhir All Stars Gegar Vaganza: Netizen tak puas hati Liza Hanim dapat nombor empat

Menurut netizen, Liza Hanim sebenarnya layak diangkat sebagai juara ASGV berdasarkan persembahan mantap yang diberikan

3:25 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bak kata pepatah, ‘rumah sudah siap tetapi pahat masih berbunyi’, itulah situasi yang boleh digambarkan tentang konsert akhir All Stars Gegar Vaganza (ASGV) yang berlangsung malam tadi.

Keputusan telah dibuat dan barisan juri sebulat suara menobatkan Jaclyn Victor sebagai juara sekali gus membawa pulang RM200,000 sebagai habuan kemenangannya.

Namun kemenangan Jaclyn menjadi pertikaian ramai netizen. Rata-rata mereka berpendapat Liza Hanim sepatutnya lebih layak diangkat sebagai juara berdasarkan ketiga-tiga persembahan mantap yang diberikan.

Barisan juri sebulat suara menobatkan Jaclyn Victor sebagai juara sekali gus membawa pulang RM200,000 sebagai habuan kemenangannya – Gambar Astro, 11 Disember, 2023

Sewaktu kedudukan peserta diumumkan ketika sidang akhbar, ramai yang terkejut apabila mengetahui kedudukan Liza Hanim yang berada di tangga keempat di belakang Nikki Palikat, Hady Mirza dan Jaclyn.

Salah seorang juri profesional, Datuk Syafinaz Selamat memberitahu, 80 peratus markah peserta terletak pada pesembahan pertama iaitu persembahan lagu solo manakala 20 peratus lagi menerusi persembahan duet dan ‘battle’ berkumpulan.

Datuk Syafinaz Selamat berkata, Jaclyn Victor tidak terlampau mencuba untuk menenggelamkan peserta lain. Dia hanya mencabar dirinya sendiri dan nyanyiannya sangat ikhlas – Gambar Astro, 11 Disember, 2023

“Bagi juri yang menilai dan mendengar menggunakan ‘earphone’, kami sebulat suara bersetuju bahawa Jaclyn adalah juara pada malam ini. Lagu yang dinyanyikannya sangat susah kerana itu adalah lagu duet. Tetapi dia menyanyi seorang dan berjaya mengawal dengan baik.

“Dia tidak terlampau mencuba untuk menenggelamkan peserta lain. Dia hanya mencabar dirinya sendiri dan nyanyiannya sangat ikhlas,” katanya.

Bagi ketua juri, Datuk Ramli MS pula, selepas tamat pusingan pertama, dia sudah tahu siapa yang harus dinobatkan sebagai juara.

Datuk Ramli MS pula berkata, Jaclyn sangat ‘stable’ pada malam itu. Peserta lain buat lebih baik ketika sesi raptai – Gambar Astro, 11 Disember, 2023

“Pada saya secara peribadi, peserta lain tak ‘perform’ malam ini. Jaclyn sangat ‘stable’. Peserta lain buat lebih baik ketika sesi raptai,” katanya.

Sementara itu Liza Hanim sewaktu ditemui berkata, dia bersyukur kerana persembahannya dihargai dan terharu apabila ramai yang meletakkan namanya sebagai juara di hati mereka.

“Saya percaya semuanya berbalik kepada rezeki. Jika ini rezeki yang Allah tetapkan untuk saya, saya bersyukur dan terima. 

“Pujian dan sokongan yang diberikan pada malam ini sudah cukup untuk saya. Saya tahu saya telah lakukan yang terbaik dan betul sehingga ramai yang berkata begitu. Itu sudah cukup untuk memberikan senyuman besar di wajah saya,” katanya.

Antara komen netizen tentang kekalahan Liza Hanim. Kata penyanyi itu, Perbalahan dalam kalangan peminat adalah perkara biasa yang pasti akan berlaku dalam mana-mana pertandingan – Tangkapan layar media sosial, 11 Disember, 2023

Ditanya mengenai peminatnya dan peminat Jaclyn saling berbalah di media sosial tentang keputusan kemenangan, kata Liza, setiap peminat pastinya mempunyai pilihan mereka sendiri.

“Masing-masing ada peserta yang mereka suka. Perbalahan dalam kalangan peminat adalah perkara biasa yang pasti akan berlaku dalam mana-mana pertandingan.

“Yang penting hubungan saya dengan Jaclyn sangat baik. Kami saling menyokong antara satu sama lain.

“Di belakang pentas kami akan pastikan masing-masing berada dalam keadaan okey. Saya sangat gembira untuk Jalcyn. Kami di sini ibarat satu keluarga,” kongsinya.

Berikut adalah kedudukan setiap peserta beserta markah penuh yang diberikan oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz dan Ella.

Jaclyn Victor (80.10%), Hady Mirza (75.74%), Nikki Palikat (73.18%), Liza Hanim (72.34%), Naqiu (72.18%), Tomok (71.46%), Azharina (69.64%) dan Siti Nordiana (61.14%). – 11 Disember, 2023

Topics

 

Popular

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related