KUALA LUMPUR – Penyanyi yang kini bergelar usahawan, Datuk Nora Ariffin mengakui sempat bertaubat dan mengucap saat berasakan dirinya hampir kehilangan nyawa sewaktu diserang sesak nafas ketika mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan swasta akibat demam, pertengahan November lalu.
Bahkan, Nora sempat meminta maaf kepada suaminya, Ustaz Dr. Rushdi Ramli yang sentiasa berada di sisi sepanjang detik yang mencemaskan itu.
“Ketika kena serangan sesak nafas itu, saya bertaubat dan mengucap. Saya tak nampak apa dah. Saya nampak mata putih sahaja.
“Suami saya ada di sebelah. Saya minta maaf kepada dia dan minta dia redakan saya, itu saja. Saya juga minta dia tolong tengokkan anak-anak.
“Ketika itu, dada saya rasa terlalu sakit, rasa macam ditarik-tarik. Saya berfikir, macam ini ke rasanya (dicabut nyawa)? Tapi, jika inilah masanya, masa sayalah,” katanya pada Majlis Pelancaran Secukup Rasa By Nora di Glenmarie, Shah Alam, hari ini.
Jelas Nora, dia kemudian tersedar semula selepas dikejutkan doktor pada keesokan harinya.
“Dalam keadaan yang masih lagi tidak menentu disebabkan ubat-ubat yang diberikan, saya terkejut bila melihat saya masih bernafas lagi.
“Saya cakap pada diri sendiri, aku hidup lagi? Tapi, itulah yang saya rasakan seperti mendapat peluang kedua untuk hidup semula,” katanya.
Menceritakan sebab-sebab bagaimana dia terkena serangan sesak nafas sewaktu dimasukkan ke pusat rawatan swasta itu, Nora berkata, pada awalnya ia hanyalah demam dan apabila membuat pemeriksaan di sebuah klinik, doktor memberitahu kemungkinan menghidap denggi.
“Disebabkan itu, saya pun terus pergi ke hospital, tapi rupa-rupanya bukan denggi tetapi pada waktu yang sama, saya masih lagi demam.
“Doktor melakukan pemeriksaan dan rawatan. Tetapi, disebabkan terlalu banyak air yang masuk ke dalam organ paru-paru saya, ia menjadikan saya lemas sehingga tidak boleh bernafas.
“Saya kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk keluarkan air tersebut dan disebabkan serangan sesak nafas itu, mereka kata saya mendapat serangan jantung kecil.
“Tapi, serangan jantung kecil itu bukan disebabkan masalah jantung tetapi disebabkan air yang terlalu banyak di dalam paru-paru saya itu. Saya dimasukkan ke ICU selama tiga hari,” katanya.
Mengakui ia satu kesilapan yang dilakukan pusat perubatan swasta tersebut, Nora bagaimanapun mengakui tidak mahu memperbesar keadaan.
“Kalau hendak diikutkan, ia memang kesilapan pihak hospital. Tapi, tidak apalah. Saya penat untuk berurusan dengan tekanan yang tidak perlu. Janji kita sihat.
“Lagipun, doktor pun manusia dan ada buat silap. Yang penting, bila saya berpindah ke sebuah hospital pakar di Kajang, saya dijaga oleh tiga pakar. Allahmdulillah, semua selesai.
“Namun, insiden itu mengajar saya untuk lebih beringat, kalau apa-apa terjadi, pergilah ke tempat yang betul. Kita juga harus tahu apa yang perlu dibuat dan apa yang jangan dibuat,” katanya.
Kata Nora, sewaktu dibenarkan keluar dari hospital pada 17 November selepas 11 hari menerima rawatan di dua hospital berbeza, pada awalnya aktiviti sehariannya sedikit terganggu disebabkan penggunaan ubat-ubatan.
“Saya terpaksa memperlahan pergerakan saya dan ia sangat menyukarkan kerana saya pula jenis yang tidak boleh duduk diam, kena buat sesuatu.
“Tapi waktu di hospital, saya nampak pengorbanan suami yang terpaksa hantar anak-anak ke sekolah dan terpaksa sediakan bajunya sendiri. Macam mana nak suruh suami aku gosok baju sebab kita biasa sediakan sendiri.
“Kesian dia dan kesian juga anak-anak dan apabila memikirkan mereka, saya jadi bersemangat untuk kembali sihat dan nak balik cepat-cepat,” katanya. – 7 Disember, 2023