The Masked Singer Malaysia musim ke-4 bakal disiarkan secara langsung, tampilkan perserta duo

Malaysia menjadi negara pertama di Asia menyiarkan rancangan ini secara langsung dan kedua di dunia selepas Jerman

3:11 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya rancangan hiburan popular, The Masked Singer Malaysia akan disiarkan secara langsung di kaca televisyen untuk musim keempat.

Ini sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di Asia menayangkan rancangan itu secara langsung dan kedua di dunia selepas Jerman.

Tampil lebih gah dan bergaya, The Masked Singer Malaysia musim keempat bakal membuka tirai dengan kehadiran 15 orang barisan selebriti terkemuka negara daripada pelbagai cabang seni seperti penyanyi, pelakon, pelawak, personaliti TV, atlet, pempengaruh media sosial dan ramai lagi.

Untuk musim ini beberapa orang juri dari musim terdahulu dikembalikan dan dicampur dengan beberapa juri baharu. 

Mereka ialah Datuk Aznil Nawawi, Zizan Razak, Nabila Huda, Michael Ang, Angah Raja Lawak, Elly Mazlein dan tiga juri baharu iaitu Sherry Al Hadad, Erra Fazira serta Rozita Che Wan.

Selain itu, penjurian di musim keempat turut mengambil kira undian daripada juri tetap sebanyak 80 peratus dan undian daripada penonton sebanyak 20 peratus untuk setiap minggu.

Idlan Zahari berkata, pihak produksi membawa semula juri-juri dari musim terdahulu kerana mereka mempunyai momen yang diingati sepanjang bersama The Masked Singer Malaysia – Gambar Scoop/7 Disember, 2023

Ditanya mengapa pihak produksi membawa semula juri-juri dari musim terdahulu, Pengurus Saluran Astro Warna, Idlan Zahari berkata, kesemua mereka mempunyai momen yang diingati sepanjang bersama The Masked Singer Malaysia.

“Mereka berjaya mencuit hati ramai orang. Jawapan-jawapan mereka sampai sekarang orang masih ingat. Jadi kali ini kami membuat keputusan untuk gabungkan juri-juri terbaik dari setiap musim bersama juri-juri yang baharu,” katanya ketika sidang media di sini.

Sherry Al Hadad selaku wajah baharu yang bakal duduk di kerusi juri berkata, dia sangat teruja untuk terlibat dengan program itu tetapi dalam masa yang sama turut rasa gementar.

“Sebenarnya saya sangat teringin nak jadi salah seorang penyanyi di sebalik topeng itu. Memang nak sangat. Tetapi rezeki yang tertulis untuk saya adalah menjadi juri.

“Sejujurnya saya gementar untuk menjadi juri, tambahan pula kali ini disiarkan secara langsung. Jika kesemua barisan juri yang baharu mungkin kurang gementar. Tetapi digandingkan dengan juri-juri yang lebih senior. Mujur ada ‘bff’ saya iaitu Nabila Huda. Jadi saya akan dapatkan tip daripada dia,” katanya.

Sherry Al Hadad (kanan) dibawa masuk sebagai juri baru, manakala Nabila Huda sudah bersama rancangan tersebut sejak musim pertama – Gambar Astro, 7 Disember, 2023

Bagi Nabila Huda yang merupakan juri untuk musim pertama, dia gembira dan teruja dapat kembali bersama rakan-rakannya.

“Paling saya teruja untuk musim kali ini kerana ia disiarkan secara langsung. Jika dulu sewaktu rakaman, kalau kita ada tersasul atau tersalah cakap perkataan yang tak sepatutnya, mereka boleh sunting.

“Bila buat secara langsung program itu akan habis lebih cepat. Kalau rakaman ambil masa yang panjang. Dia macam apa-apa yang terjadi waktu itu pun ‘show must go on’.

“Sebenarnya apa yang paling saya suka dengan program ini ialah saya dapat belajar banyak perkara tentang selebriti-selebriti yang ada di Malaysia berdasarkan info dan pembayang yang diberikan dan juga lagu-lagu yang kadang-kadang saya tak pernah dengar,” katanya.

Sebahagian juri The Masked Singer Malaysia musim keempat – Gambar Astro, 7 Disember, 2023

Seramai 15 orang selebriti dan personaliti tempatan dengan gabungan duo akan memperagakan 14 kostum unik pada musim ini yang merangkumi Musang, Sang Kancil, Putera Katak, Mat Helang, Abang Jagung, Roti John, Bawang Putih, Kak Cat, Ikan Emas, Teratai, Bunga Matahari, Pom Pom Kin, Biskut Aiskrim dan buat julung kalinya diperkenalkan pasangan duo Cili Padi di pentas The Masked Singer Malaysia.

Menerusi kejayaan pada musim-musim lalu, Astro terus ke hadapan dengan menaik taraf kostum-kostum untuk diperlihatkan kepada peminat dengan menyelitkan elemen yang dekat dengan masyarakat termasuk flora, fauna dan kepelbagaian makanan tempatan hasil rekaan Akma Suriati Awang serta mendapat sentuhan istimewa daripada pereka terkenal tempatan, Syomirizwa Gupta.

Bakal berlangsung selama 10 minggu bertempat di CIBD Convention Center Kuala Lumpur, penonton boleh menyaksikan musim baharu The Masked Singer Malaysia pada setiap Ahad, mulai 17 Disember, pukul 9 malam di Astro Warna (Saluran 107 HD) dan juga boleh distrim secara eksklusif menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO. – 7 Disember, 2023

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Evacuation ordered after bomb threat at Tourism Ministry complex in Putrajaya

Police bomb squad, Fire Dept at scene after suspect package delivered to building

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related