KUALA LUMPUR – Pereka fesyen, Datuk Jovian Mandagie, 37, dan Datin Nina Sabrina Ismail Sabri bersetuju menamatkan perkahwinan mereka yang dibina selama 10 tahun pada Ogos lalu.
Berita perceraian itu diumumkan Jovian dan Nina menerusi satu kenyataan bersama yang dikongsi di Instagram masing-masing.
Dalam kenyataan tersebut, mereka turut memberikan penjelasan yang cukup matang mengenai punca perceraian mereka itu kepada umum.
“Sesetengah perkahwinan adalah istimewa dan dibuat untuk kekal seumur hidup, tetapi perkahwinan kami istimewa kerana ia berkembang menjadi persahabatan yang akan kekal seumur hidup.
“Pada Ogos lalu, kami saling memutuskan untuk menamatkan perkahwinan 10 tahun kami atas sebab yang kami percaya adalah yang terbaik.
“Kami dapati sebagai rakan dan ibu bapa kepada Jeanelle, kami berkongsi jenis cinta yang berbeza yang kami hargai,” kata mereka.
Bagaimanapun, pasangan itu mahu memastikan anak tunggal mereka, Jeanelle kekal sebagai keutamaan.
“Setakat ini, kami sudah melakukan yang terbaik, Alhamdulillah.
“Kasih sayang kami terhadap ibu bapa dan keluarga juga tidak berubah. Kami yakin dengan perancangan Allah, kerana Dia adalah perancang yang terhebat,” kata mereka.
Pada masa sama, Jovian dan Nina amat menghargai sesiapa sahaja yang menjadi sebahgian daripada perjalanan hidup mereka sepanjang dekad yang lalu serta akan menghargai segala kenangan itu.
“Sokongan anda untuk #Jovianina sangat berharga, dan kami berharap anda akan terus menyokong dan menyayangi kami seperti yang anda lakukan,” katanya.
Mengadakan sesi siaran langsung bersama di platform TikTok, kedua-duanya mengakui terharu dengan komen positif mengenai diri mereka sebagai pasangan suami isteri.
“Kami merasakan adalah penting untuk kami berkongsi perkara ini dengan anda semua. Walaupun berita ini mungkin tidak dijangka, sila percaya bahawa kami berdua berada di tempat yang baik.
“Terima kasih sekali lagi atas doa dan sokongan anda semasa kami memulakan lembaran baharu berasingan ini dalam hidup kami.
“Terima kasih atas kasih sayang dan sokongan anda yang tidak berbelah bahagi untuk #JoviaNina selama ini. Kami sangat menghargai dan menyayangi anda semua,” kata mereka. – 5 Disember, 2023