KUALA LUMPUR – Produser filem dan penulis lirik, Datuk Habsah Hassan mengakui sedih dan pada masa sama terkejut apabila pelanggan termasuk rakan industri menyangka restoran miliknya, Puteri Pencala sudah ditutup.
Menurut Habsah atau lebih mesra disapa sebagai Kak Chah, restorannya yang terletak di Taman Tun Dr Ismail itu tidak pernah ditutup ataupun dihentikan operasinya walaupun ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
“Bila berjumpa dengan kawan-kawan, mereka ingat saya dah tutup restoran. Bila saya cakap restoran saya masih lagi dibuka, mereka pula yang terkejut.
“Mereka kemudian beritahu tak nampak restoran saya itu dan ada juga yang mengaku mereka tak jumpa jalan nak masuk ke restoran.
“Walhal restoran saya itu terletak di atas bukit, di tepi jalan dan orang boleh lihat papan tandanya dari jalan. Tapi yang peliknya, bangunan dan jalan masuk ke restoran saya ini macam tertutup buat mereka,” katanya kepada Scoop.
Tidak bermaksud mahu mempercayai unsur mistik, namun Kak Chah berkata, beberapa pekerja restorannya pernah berdepan pengalaman pelik.
“Ada suatu masa, sewaktu mereka sedang duduk di luar restoran untuk mengambil udara malam selepas habis bekerja, mereka ternampak cahaya keluar dari arah tingkap.
“Mereka pandai juga sebab ada mengambil gambar cahaya itu menggunakan telefon bimbit mereka. Tapi, bila mereka masuk ke dalam restoran itu, mereka tak jumpa apa-apa.
“Ada juga rakan-rakan yang punya keistimewaan untuk mengesan benda mistik memberitahu kedai saya ini dibuat orang dan perlu dapatkan bantuan Ustaz yang cerdik pandai. Kata mereka juga, kedai saya ini ada ’sesuatu’ yang membuatkan auranya tidak terserlah,” katanya.
Begitupun, Kak Chah yang juga Presiden Persatuan Tinta Karya Malaysia (Tinta Karya) menegaskan, dia masih mahu menyelamatkan restoran tersebut dan tidak berhasrat untuk menutupnya.
“Memang bisnes restoran saya teruk sangat sekarang ini. Collection (pendapatan) setiap hari dah tak macm dulu-dulu. Kadang, kita hanya dapat RM100 lebih sahaja untuk bisnes sehari.
“Tapi, saya tetap nak teruskan bisnes restoran saya ini sebab tanah restoran ini, saya sewa. Tapi, bangunannya, saya buat sendiri. Kalau pindah, rugilah saya.
“Lagi satu, saya kasihan sangat dengan pekerja saya. Mereka sangat setia dengan saya dan bagus bekerja. Waktu Covid-19 pun, saya bayar gaji mereka penuh. Tak sampai hati nak bagi gaji mereka separuh,” katanya.
Jelas Kak Chah lagi, selagi mampu dia mahu memulihkan semula bisnes restorannya agar ia kembali rancak seperti sebelum ini.
“Kalau orang makan di restoran ini, mereka semua puji sedap. Cuma sekarang ini, pelanggan makin sepi dan inilah cabaran yang perlu saya tangani,” katanya. – 5 Disember, 2023