KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon popular dari Indonesia, Bunga Citra Lestari selamat menikah bersama pilihan hatinya, Tiko Aryawardhana di Bali sebentar tadi.
Video hari bahagia Bunga yang berlangsung di sebuah resort mewah itu kini sedang tular di aplikasi TikTok.
Dalam video berkenaan, kelihatan Bunga yang jelita berbusana tradisional kebaya berwarna putih sedang turun tangga sambil ditemani adik kepada Allahyarham Ashraf Sinclair iaitu Aishah Sinclair.
Turut kelihatan berada di majlis berkenaan ialah aktres popular, Luna Maya dan pengurus serta penganjur konsert, Iman Tang.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen memuji penampilan Bunga yang kelihatan sangat jelita. Mereka turut memuji keluarga Ashraf yang tetap hadir biarpun Bunga kini telah menjadi isteri lelaki lain.

Terdahulu berita mengenai Bunga yang dikatakan akan menamatkan zaman jandanya mula bertebaran sejak minggu lalu. Dua hari lalu, Bunga juga telah menukar namanya di akaun Instagram dengan tidak lagi menggunakan nama Sinclair. – 2 Disember, 2023