KUALA LUMPUR – Pernah membeli kostum adiwira untuk menghiburkan anak-anaknya, pelakon Nas-T tidak menyangka akhirnya dia dipilih memegang watak Keluang Man yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia.
Menurut Nas-T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar Nasruddin, 40, sebagai pencinta adiwira, dia turut terjebak membeli kostum watak itu.
“Saya selalu pakai untuk menghiburkan anak-anak saya. Saya pernah juga terfikir kan best (seronok) kalau dapat jadi ‘superhero’ dalam filem.
“Bila saya beritahu anak-anak bahawa saya akan melakonkan watak Keluang Man, mereka sangat gembira,” katanya ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan barisan pelakon filem berkenaan.
Ditanya apa yang membuatkan dia menyertai sesi uji bakat untuk melakonkan watak Keluang Man, Nas-T berkata, dia membesar dengan menonton siri animasi itu.
“Saya menonton Keluang Man sejak umur saya 12 tahun lagi. Sebagai seorang peminat siri superhero, saya sangat teruja bila melihat kita ada superhero kita sendiri.
“Tetapi saya tak sangka saya yang akan memainkan watak Borhan itu,” ujarnya.
Menewaskan lebih 300 calon yang menghantar video untuk uji bakat, kongsi Nas-T, dia sekadar menghantar rakaman mengenai sebiji burger.
“Setiap pelakon perlu memperkenalkan diri dan melakonkan pelbagai ekspresi seperti sedih, gembira, marah dan sebagainya, menerusi video yang perlu dihantar kepada pihak produksi.
“Pada ketika itu, saya lapar dan terfikir nak makan burger. Jadi saya fikir dialog apa yang paling sesuai. Akhirnya saya buat video saya suka makan burger. Tak sangka selepas seminggu, saya dapat panggilan daripada pihak produksi,” kongsinya.
Selain Nas- T, antara pelakon turut membintangi filem arahan Anwari Ashraf itu adalah Datuk Rosyam Nor, Remy Ishak dan Anwar Beg Moghal.
Filem Keluang Man yang diterbitkan Astro Shaw bakal menjalani penggambaran pada April tahun hadapan dan ditayangkan pada 2025. – 29 November 2023