KUALA LUMPUR – Segelintir selebriti tempatan mempunyai hobi yang unik dan berbeza tetapi siapa sangka pengacara dan pelakon, Alif Satar minat menanam bunga.
Alif juga nampaknya cukup teruja dan bangga apabila bunga ditanamnya itu kembang mekar dan subur.
Malah dia turut berkongsi kegembirannya mengenai perkara itu bersama pengikutnya menerusi satu hantaran di media sosialnya, hari ini.
“Alhamdulillah, tak sampai sebulan, hari ini, Japanese Rose saya macam meriah kalau dibandingkan dengan minggu lepas.
“Bahagian bawah, letak Japanese Rose, pokok atas, saya tanam Sandpaper Vine bersama Bauhinia Cocciniea.
“Insya-Allah, dalam tempoh sembilan hingga 10 bulan lagi, ia akan naik menjalar, lawa baik… baik punya,” katanya.
Alif juga mengakui dia seorang Mat Bunga dan berharap minatnya itu tidak dipandang negatif.
Bagaimanapun, rata-rata pengikutnya terutama golongan wanita memuji kecantikan bunga ditanam Alif.
Tak kurang juga menyifatkan tangan Alif ‘sejuk’ dan disebabkan itu bunga ditanamnya menjadi.
Malah mereka turut menganggap isterinya amat bertuah kerana memiliki suami yang mempunyai minat sebegitu.
Dalam pada itu, terdapat netizen yang teringin menanam bunga setelah melihat hasil bunga ditanam penyanyi itu.
Ada juga yang mengusik Alif dengan memberitahu minat menanam bunga disebabkan sindrom pertambahan usianya.
Tapi, memang cantik dan menjadi betul bunga ditanam Alif. Tak sangka, Alif ada bakat menanam bunga. Memang versatil betul si Alif ni. – 28 November, 2023